Safawi idam hatrik MVP

Penyerang Harimau Malaya dan JDT, Safawi Rasid pamer anugerah Penyerang Terbaik sempena Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 19. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli




KUALA LUMPUR: Tiga anugerah yang dimenangi pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 (ABK 19), semalam menjadi tonik tambahan buat Safawi Rasid menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.
Safawi dipilih sebagai pemenang anugerah utama ABK – Pemain Paling Bernilai (MVP) selain turut merangkul dua lagi anugerah termasuk Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular.
Pemain berusia 22 tahun itu mengakui anugerah yang diterima menjadi pembakar semangat untuk dia terus meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi sama ada bersama Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Katanya, anugerah berkenaan juga adalah hasil daripada bimbingan daripada jurulatih serta pemain senior seperti penjaga gol Farizal Marlias dan Aidil Zafuan Abd Radzak.
"Ramai pemain yang bagus tahun ini, tapi berkat doa ibu bapa, saya dapat (anugerah MVP) lagi buat kali kedua (selepas tahun lalu). Untuk masa depan, saya nak lakukan lebih baik dari tahun ini.
"Kalau boleh saya nak mendapatkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang saya buat selama ini," kata pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Selain tiga anugerah itu, Safawi turut menerima kasut emas Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) selepas mengumpul lapan gol.
Selain itu, Safawi mendedahkan usaha keras ketika latihan dan perlawanan menjadi antara rahsia dia berjaya memberikan aksi terbaik walaupun pada usia yang muda.
"Setiap perlawanan saya anggap seperti final kerana perkara itu akan menjadikan lebih bersungguh-sungguh untuk dapatkan keputusan positif.
"Untuk kekal konsisten (memenangi anugerah MVP) memang susah. Tapi tidak mustahil dan saya akan cuba melakar hatrik tahun depan untuk memenangi anugerah ini lagi," katanya.

Ulasan