Piala Malaysia: Azamuddin Akil Mahu Balas Kepercayaan KFA


Bekas pemain JDT, Azamuddin Akil – yang kini mewakili pasukan Kedah – bertekad mahu membalas kepercayaan Lang Merah ke atasnya.
Azamuddin memiliki rekod unik apabila sudah memenangi 3 trofi Piala Malaysia secara peribadi. Dua kali menjuarainya dengan pasukan Pahang dan sekali ketika membantu JDT menjulang trofi sulung Piala Malaysia pada 2017 – menewaskan pasukan Kedah.
KFA telah mendapatkan khidmat Azamuddin Akil pada akhir tahun 2018 walaupun pemain itu ketika itu sedang bergelut dengan masalah kecederaan di pergelangan kakinya.
Azamuddin banyak menghabiskan masa di pusat rehabilitasi dan fisioterapi pasukan ketika mula menyertai pasukan Kedah.
Oleh sebab itu Azamuddin yang juga terkenal dengan panggilan Alex mahu membalas jasa Kedah. Pada Mei lalu, beliau membantu Kedah menjulang Piala FA.
Berdasarkan kontrak semasa, ini merupakan tahun akhir Alex bersama dengan Kedah.
Bercakap kepada Astro, Alex berkata: “Kedah turun sebagai pasukan bukan plihan. Dan tiada siapa pun menjangka kami akan dapat melangkah ke dua aksi final [piala domestik] pada musim ini.”

Pemain berusian 34 tahun itu menyatakan beliau sudah merasai banyak pengalaman final Piala Malaysia, jadi beliau tidak ada isu dengan rasa gementar.
“Perasaan gementar mungkin hadir jika beraksi dalam aksi final buat kali pertama tetapi selepas empat atau lima kali di pentas ini, saya tidak berasakan begitu gementar dan akan cuba yang terbaik untuk pasukan,” jelas beliau lagi.
Paling menarik musim ini, netizen pernah menggunakan poster wajah Alex ketika separuh akhir Piala Malaysia, menggambarkan separuh akhir musim ini adalah ‘Derbi Azamuddin Akil’ kerana keempat-empat pasukan yang mara ke separuh akhir adalah pasukan yang pernah dan sedang diwakili beliau.
Adakah Alex akan dapat membantu Kedah menamatkan saingan musim ini dengan satu lagi piala major domestik?

Ulasan