Penyokong Kedah mula bertolak ke Bukit Jalil

PENYOKONG Kelab Red Eagle Frenz Kedah (REFK), Syamir Sohahuddin (tengah) bergambar bersama rakan sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur malam tadi. NSTP/Izzali Ismail
ALOR SETAR : Hampir 50 buah bas yang membawa ribuan penyokong Kedah mula bergerak meninggalkan perkarangan Stadium Darul Aman menuju destinasi perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 10 malam tadi. 
Tinjauan mendapati, jumlah kenderaan berkenaan sebahagian dari rombongan 215  kenderaan membabitkan bas dan van membawa anggota kelab-kelab penyokong Kedah dan mereka memulakan perjalanan sebentar tadi.
Seorang penyokong Kelab Red Eagle Frenz Kedah (REFK) dari Jitra, Syamir Sohahuddin, 25, berkata beliau begitu teruja menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia. 
"Saya rela mengambil cuti tiga hari semata-mata tidak terlepas peluang bersama kelab penyokong ke Bukit Jalil bermula malam ini dan saya rasa pengorbanan ini berbaloi apabila dapat menyaksikandepan mata Kedah beraksi di perlawanan final untuk memburu kejuaraan kali keenam."
"Saya memilih menaiki bas bersama rakan-rakan kelab penyokong kerana mahu merasakan suasana kemeriahan bersama-sama penyokong Kedah yang lain, dan dari situ kami dapat bertukar pendapat dan bersama membawa semangat 'Hijau Kuning' ke Stadium Bukit Jalil.
"Sudah tentu perlawanan akhir ini menjanjikan aksi menarik dari kedua-dua pasukan dari segi corak permainan pantas yang dijangka mendebarkan."
Seorang lagi penyokong dari Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKFC), Mohd Faizal Hafizi Nadzri berkata rombongannya ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula pada pukul 10.30 malam kerana permintaan tinggi dari kalangan ahli yang akan menunggu bas yang mereka naiki di kawasan Sik selepas bertolak dari Alor Setar. 
"Kami teruja dengan semangat yang ditunjukkan pemain Kedah sehingga berjaya melangkah ke pentas akhir untuk kali kedua pada tahun ini." 
"Peluang sekali lagi di pentas akhir mahu dibuktikan Kedah untuk muncul juara berganda pada tahun ini dan kami sebagai penyokong akan pastikan memberi sorakan terbaik di SNBJ nanti." katanya. 

Ulasan