Pengadil Final Bukan Dari Johor Atau Zimbabwe, Dan Tak Pernah Bagi Zidane Kad Merah


Teka-teki mengenai pengadil tempatan yang akan mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019 terjawab selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pengadil bertugas pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid itu menyaksikan Muhammad Nazmi Nasaruddin bakal mengadili perlawanan sambil dibantu oleh Mohamad Zairul Khalil Tan selaku Penolong Pengadil 1 serta Mohd Junaidi Abd Samad [Penolong Pengadil 2].
Sementara itu, Razlan Joffri Ali dan Zulkarnain Zakaria bertindak selaku pengadil di belakang gol [bahagian tepi] manakala Muhammad Farhan Abdul Aziz sebagai pengadil keempat.
”Suka saya nyatakan setelah tapisan yang agak rapi, dimana tiga daripadanya adalah pengadil FIFA dan tiga pengadil kebangsaan.”
”Kriteria yang kita pilih sebagaimana yang telah saya nyatakan adalah berdasarkan prestasi sepanjang Liga Malaysia dan Piala Malaysia.”
”Keduanya [tiada] kontroversi sepanjang penugasan dan yang ketiga tidak terikat dengan mana-mana negeri, Johor atau Kedah Darul Aman,” ujar Md Dali Wahid bercakap kepada wartawan.
Namun begitu, sejak semalam, telah tular di media sosial menyatakan bahawa pengadil utama adalah dari Johor. Ianya gara-gara ramai warganet yang percaya bulat-bulat dengan informasi pada Wikipedia.


Arena Metro melaporkan, profil wikipedia  – pengadil utama – Muhammad Nazmi telah disunting lebih 10 kali dalam masa 30 minit.
Antara yang disunting oleh pengguna wikipedia yang ada akses menyunting data adalah dengan memasukan informasi yang tidak masuk akal termasuk menyatakan bahawa Nazmi pernah melayangkan kad merah kepada Zinedine Zidane.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dali Md Wahid kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pengguna wikipedia dan juga pihak yang terlalu senang mempercayai perkara seperti itu.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa: “Seperti yang saya katakan semalam, kesemua pengadil bebas daripada sebarang kontroversi dan masalah sepanjang karier mereka sebagai pengadil.”
“Nazmi sebenarnya lahir di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Pulau Pinang. ”
“Jadi, semua yang tertera di wikipedia sudah diubah oleh pihak tertentu dengan sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang lain.”
Dali Md Wahid mengakui beliau menerima banyak sekali pertanyaan daripada pelbagai pihak berikutan penularan info tak tepat itu. Ada yang menyunting info pengadil turut berasal dari Harare, Zimbabwe.
Kepada warganet di Malaysia, jangan terlalu mudah percaya dengan apa yang anda baca di Wikipedia, kerana informasinya boleh disunting oleh ramai pihak yang boleh akses kepadanya.
Semoga final malam ini diadili dengan sebaiknya.

Ulasan