'Pelayar maya' HM pilih Kedah juara


PASUKAN Kedah menjadi pilihan pelayar maya untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2019 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok.
Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dalam talian Facebook (FB), Twitter dan Instagram (IG) Harian Metro (HM) dalam tempoh 24 jam berakhir jam 11.40 pagi tadi.
Seramai 123,000 pelayar mengambil bahagian dalam undian antara skuad 'Helang Merah' dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di FB HM.


Sebanyak 55 peratus iaitu 68,000 pelayar memilih Kedah sebagai juara manakala bakinya 45 peratus (55,000), JDT selepas dua pasukan itu mara masing-masing dengan menewaskan Pahang dan Selangor, Sabtu lalu.
Menerusi undian di Twitter HM, 55 peratus daripada 829 pelayar Twitter turut memilih skuad negeri Jelapang Padi itu untuk memenangi piala berprestij berkenaan manakala 45 peratus lagi bagi pasukan 'Harimau Selatan'.
Sementara itu, undian menerusi IG HM turut memihak kepada Kedah apabila 56 peratus daripada 3,431 pelayar memilih pasukan berkenaan berbanding 44 peratus, JDT.
Undian berkenaan turut menerima pelbagai reaksi berdasarkan maklum balas ditinggalkan di ruangan komen.
Pengikut FB, Ju Junainah menganggap Kedah antara pasukan yang kerap dilihat mara bersaing ke final sukan nombor satu negara itu.
"Kalau bab da ke final ni yang selalu kita nampak, Kedah la lebih ke depan. Pasukan kuat, ditambah pula dengan sokongan fans yang padu. Kedah kalau main memang mantop la," katanya.
Pengikut dikenali Arbain Yusuf pula berkata, JDT di atas padang dan kertas adalah pemenang.
"Dari segi jumlah jaringan dan jumlah bolos adalah memihak kepada JDT. Cuma bola itu bulat. Selebihnya kepada Allah berserah," katanya.
Namun, bagi Mursyieda Rain, dia berharap tiada pergaduhan berlaku terutama antara penyokong kedua-dua pasukan itu.
"Kedah ke JDT ke tak kisah mana menang. Janji jangan ada pergaduhan dan bahan membahan.
Sedangkan pemain sendiri pun relax je, yang lebih adalah penyokong.
Kedua-dua negeri mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadilah penyokong yang bijak," katanya.

Ulasan