Perlu segera menggunakan teknologi bantuan video (VAR) atau teknologi garisan gol bagi menyelesaikan masalah gol kontroversi yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain, pasukan dan penyokong.
Ia menjadi harapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim apabila melihat gol kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia malam kelmarin mengundang kontroversi sama ada melepasi garisan gol atau sebaliknya.
Gol yang dihasilkan tonggak JDT, Safawi Rasid menerusi sepakan percuma itu terkena tiang lalu melantun dan melintasi garisan gol Kedah sebelum keluar dari pintu gol.
Bagaimanapun, pengadil Nazmi Nasaruddin yang mendapatkan nasihat penjaga garisan di belakang gol mengesahkan gol itu.
Ifwat berkata, gol kedua itu meruntuh moral skuad Lang Merah, sekali gus mengganggu rentak permainan hingga gagal menyekat kemenangan skuad Harimau Selatan.
“Melihat kepada gol kedua itu sebenarnya saya pun tidak nampak keadaannya sebelum pengadil membenarkan jaringan itu yang disahkan oleh pembantu pengadil di sebelah kiri gol.
“Harap lepas ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh menggunakan VAR bagi mengelak berlakunya gol kontroversi,” katanya.
JDT mengesahkan status selaku kuasa bola sepak tempatan apabila muncul juara Piala Malaysia selepas membenam Kedah 3-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin.
Ulasan
Catat Ulasan