Nazmi Nasaruddin pengadil final, tiada VAR

Muhammad Nazmi Nasaruddin. - Foto Hairul Anuar Rahim




KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam esok bakal berlangsung lancar.
Ketika memberi jaminan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata selepas melalui tapisan ketat, Muhammad Nazmi Nasaruddin diberi kepercayaan untuk mengadili perlawanan penutup Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
"Kriteria kita pilih adalah pada prestasi liga dan Piala Malaysia, selain bebas kontroversi dan tidak terikat dengan mana-mana negeri, Johor mahu pun Kedah.
"Sehubungan itu, kita minta kerjasama daripada semua khasnya penyokong. Ini perlawanan penting dan pengadil juga ada klimaks tersendiri untuk mengadili perlawanan seperti ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Md Dali berkata Muhammad Nazmi akan dibantu oleh Muhammmad Zairul Khalil Tan dan Junaidy Abd Samad selaku penolong pengadil pertama dan kedua.
Razlan Joffry Ali danZulkarnain Zakaria akan ditugaskan sebagai pengadil di kawasan gol manakala Muhammad Farhan Abd Aziz pegawai keempat. Azman Sulong pula akan ditugaskan sebagai komisioner perlawanan.
Isu prestasi pengadil sering menerima kritikan peminat seperti pertikaian membabitkan jaringan ketiga Kedah ketika aksi separuh akhir menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu.
Untuk rekod Muhammad Nazmi juga ditugaskan mengendalikan perlawanan separuh akhir kedua antara JDT dan Selangor, namun Md Dali bertegas hanya pengadil berkenaan yang masih tinggal selepas beberapa pengadil bertaraf FIFA akan bertugas di pentas antarabangsa.
"Ada juga pengadil kita terbabit perlawanan luar negara dan akhirnya ini yang terbaik. Tidak ada soal pengadil untuk JDT," katanya
Md Dali turut mengesahkan ketika ini pihaknya belum dapat menggunakan teknologi pengadil bantuan video (VAR) pada aksi final berkenaan.
"Memang kita belum ada VAR. Kita letak ponolong pengadil di belakang gol untuk menentukan bola masuk atau tidak. Itu salah satu cara kita elak berlakunya kontroversi," katanya.

Ulasan