Muhammad Nazmi pengadil final Piala Malaysia

Muhammad Nazmi (tengah) diberi kepercayaan oleh FAM untuk mengadili aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Muhammad Nazmi (tengah) diberi kepercayaan oleh FAM untuk mengadili aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dali Md Wahid mengumumkan Muhammad Nazmi Nasaruddin dipilih sebagai pengadil aksi final Piala Malaysia yang menemukan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) malam esok.

Menurut Dali, Muhammad Nazmi bakal dibantu oleh Muhammad Zairul Khalil Tan yang bertindak sebagai penolong pengadil kedua dan Junaidy Abd Samad merangkap penolong pengadil ketiga.

“Razlan Joffri Ali dilantik sebagai penolong pengadil tambahan pertama dan Zulkarnain Zakaria dipilih penolong pengadil tambahan kedua.

“Muhammad Farhan Abd Aziz pula dilantik sebagai pegawai pertandingan keempat sementara Azman Sulong bertindak sebagai penilai pengadil untuk aksi final Piala Malaysia 2019,” katanya pada sidang media prafinal Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dali optimis kesemua pegawai pertandingan yang terpilih mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan perjalanan final Piala Malaysia 2019 berjalan dengan lancar.

“FAM sentiasa menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap semua pegawai pertandingan yang terpilih untuk memastikan final Piala Malaysia 2019 berada dalam tahap terbaik.

“Membuat penampilan di pentas final seperti Piala Malaysia bukan sahaja pencapaian tertinggi tetapi ia juga menjadi salah satu proses pembangunan positif buat pengadil tempatan kita.

“Ada pengadil kita telah menerima jemputan daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang pengadil dan seorang penolong pengadil bagi mengendalikan dua perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan kebangsaan negara itu, November ini.

“Dengan pelantikan bagi perlawanan-perlawanan antarabangsa, ia menunjukkan bahawa pegawai perlawanan atau pengadil dari Malaysia memiliki tahap atau kualiti bertaraf antarabangsa dan terus mendapat kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi.

“Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memberikan kepercayaan kepada pengadil tempatan kita dan FAM berharap pegawai-pegawai yang terpilih ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan terus konsisten dalam tugasan yang diberikan itu, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil-pengadil di Malaysia,” katanya

Ulasan