REAKSI jurulatih JDT, Benjamin Mora Mendivil pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 pasukan Kedah bertemu JDT di Stadium Bukit Jalil. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak memenangi Piala Malaysia 2019 dengan mudah namun pengendalinya, Benjamin Mora merasakan sebaliknya.
Jelas Mora, dia mengakui aksi terbabit bukanlah satu perlawanan yang mudah walaupun keputusan 3-0 yang diraih anak buahnya sedikit sebanyak menunjukkan betapa Kedah tidak mampu memberi saingan sengit pada aksi final terbabit.
“Kita nampak Kedah bergelut untuk bergerak ke hadapan kerana mereka kehilangan ramai pemain utama dan tidak memiliki skuad yang lengkap.
“Situasi ini jelas membantu JDT mengawal permainan dan kita tidak memberikan peluang kepada Kedah untuk melakukan apa yang mereka mahu lakukan.
“Saya boleh katakan bahawa kami bermain dengan ringkas dan buat apa yang patut kami lakukan. Kami fokus dengan permainan dan konsisten dengan aksi kami kerana pemain tahu tugas mereka. Tetapi ini bukanlah aksi yang mudah,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan Piala Malaysia yang kedua buat JDT selepas meraih gelaran sulung pada 2017 yang menyaksikan mereka turut menundukkan Kedah pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, JDT menunjukkan dominasi apabila meledak dua gol pada babak pertama menerusi penyudah Leandro Velazquez pada minit ke-27 disusuli jaringan sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua, Syafiq Ahmad meledak gol ketiga pada minit ke-57 sekali gus melenyapkan hasrat Kedah untuk cuba bangkit.
Ulasan
Catat Ulasan