JURULATIH JDT, Benjamin Mora. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Sekalipun turun dengan pelbagai kelebihan dan tampak sebagai pasukan sempurna, Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mendabik dada apabila tetap menghormati pencabarnya, Kedah pada aksi final Piala Malaysia, malam ini.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora menegaskan tidak ada status sebagai pasukan pilihan apabila beraksi di final kerana apa sahaja boleh berlaku pada perlawanan besar seperti final Piala Malaysia.
“Banyak faktor yang terbabit untuk perlawanan seperti ini dan tiada pasukan pilihan.
“Kami hanyalah satu pasukan yang mahu memenangi Piala Malaysia dan akan mencuba sehabis baik untuk melakukannya.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai cara perlawanan akan berakhir tetapi apa yang penting, pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan melaksanakan perancangan serta strategi yang sudah diaturkan.
“Pemain perlu tahu apa yang perlu dilakukan dalam dua fasa iaitu ketika menyerang dan ketika bertahan.
“Jika kurang kesilapan yang kita lakukan, lebih besar kemungkinan kita untuk menjadi juara,” katanya.
Pada masa sama, Mora mengakui pembabitan ramai pemain JDT dalam skuad kebangsaan yang menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi tampak memberi sedikit kelebihan kepada persiapan pasukannya.
“Pemain JDT sudah kenal dengan padang dan stadium berdasarkan pengalaman mereka bersama skuad kebangsaan sebelum ini.
“Sudah tentu ini sedikit membantu kerana mereka ada pengetahuan mengenai perkara ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan