Pelawak, Mazlan Ahmad atau dikenali sebagai Lan Pet Pet. - Foto Khairul Azhar Ahmad
ALOR SETAR: Pelawak terkenal Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet menjangkakan saingan sengit bakal dipertontonkan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), esok.
Tetapi dalam keghairahan itu, Mazlan berharap penyokong kedua-dua pasukan dapat meneruskan keharmonian baik yang terjalin selama ini tanpa melakukan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan perhubungan.
"Bagi saya kedua-dua penyokong pasukan Kedah dan JDT memiliki keharmonian dan semangat kesukanan yang tinggi, dan saya berharap mereka sama-sama mengekalkan perhubungan silaturrahim yang sedia ada tambahan kedua-dua pasukan ini juga akan mewakili Malaysia beraksi di pentas bola sepak Asia pada musim depan.
"JDT pasukan yang dilihat sebagai pilihan sementara Kedah pula dilabel sebagai pasukan 'underdog' dan inilah yang membuat penyokong lebih bersemangat mahu melihat kemampuan kedua-dua pesaing hebat Liga Malaysia di pentas final Piala Malaysia kali ini.
"Saya sebagai penyokong tegar Kedah sejak dari zaman sekolah rendah lagi, mahu seluruh penyokong skuad Hijau Kuning teruskan memberi sokongan secara sihat dan elakkan sebarang provokasi."
Pelakon berusia 50 dan terkenal melalui kumpulan Senario ini turut mengakui kekuatan JDT selaku juara Liga Super di segenap posisi namun pada masa yang sama yakin Kedah akan tampil dengan semangat luar biasa dan tidak mudah mengalah.
"Dengan adanya beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan, saya berharap Kedah mampu menyerap tekanan final dan saya mahu melihat mereka beraksi seperti di Kuantan minggu kerana faktor tanpa tekanan mampu membantu mereka beraksi dengan lebih baik.
"Mana-mana pasukan yang melakukan kesilapan boleh menerima padah dan seharusnya aspek disiplin dan fokus sepanjang perlawanan akan menjadi perkara yang sangat penting dalam aksi akhir ini,” katanya yang meramalkan Kedah menang dengan keputusan 3-2.
Ulasan
Catat Ulasan