Kejayaan satu pasukan - Safawi


PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid menyifatkan kejayaan skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2017, adalah hasil kerjasama erat rakan sepasukan.
Penyerang kebangsaan itu yang dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia berkata, kemenangan selesa 3-0 ke atas Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, tidak akan hadir tanpa bantuan rakan sepasukan yang memberi sokongan padu di antara satu sama lain.
Untuk rekod, JDT menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sekali gus menamatkan penantian selama 26 tahun pasukan selatan tanah air itu, untuk menjulang piala berkenaan.
"Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan semua yang terlibat dalam kem JDT.


"Saya memang hendak beraksi pada final tahun ini selepas tidak diturunkan pada 2017, dan impian saya untuk beraksi tercapai, jadi Alhamdulillah. Bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama JDT tanpa usaha," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan, malam tadi.



JDT menjulang Piala Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mengulas lanjut, Muhammad Safawi, 22, turut memuji pengurusan JDT yang membeli beberapa peralatan moden dalam mempercepatkan proses pemulihan pemain, selepas beraksi secara kompetitif dalam tempoh yang agak panjang.
Pada aksi final berkenaan, JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi pemain import dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez yang menolak masuk umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera, sebelum Muhammad Safawi meledak gol kedua, selang tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol Kedah.
Muhammad Syafiq mengesahkan kemenangan bergaya JDT, setelah menanduk masuk hantaran silang Mohd Afiq Fazail pada minit ke-58.

Ulasan