Keinginan JDT adalah untuk terus kekal dalam kelas tersendiri


Keinginan JDT adalah untuk terus kekal dalam kelas tersendiri



Keinginan untuk sentiasa kekal dalam kelas tersendiri adalah resepi utama Johor Darul Takzim berjaya mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK 2019) pada Jumaat lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian berkata, “Sebagaimana sering kali digagaskan oleh Duli Yang Amat Mulia(DYAM) Pemangku Raja, JDT kena sentiasa ‘class above the rest’, pada setiap masa. InsyaAllah kita akan cuba kekalkan momentum ini dan sentiasa mencuba yang terbaik di tanah air setiap masa.
“Sekalung penghargaan dan setinggi menjunjung kasih kepada DYAM Pemangku Raja kerana selama ini membangunkan pasukan JDT sehingga peringkat yang amat membanggakan seperti hari ini,” katanya.
Pada malam ABK 2019, JDT memenangi  12 anugerah dengan Safawi Rasid membawa pulang empat trofi iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Terbanyak bagi Pemain Tempatan dalam saingan Liga Super.
Selain itu, pemain JDT turut meraih anugerah lain seperti Farizal Marlias (Penjaga Gol Terbaik), Hariss Harun (Pemain ASEAN Terbaik), Diogo Luis Santo (Pemain Import Terbaik) dan Akhyar Rashid (Pemain Muda Harapan).
Bagi kategori kelab, JDT turut mengekalkan keunggulan apabila memenangi anugerah Pasukan Terbaik, Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik dan Laman Web Terbaik.
Dalam masa sama, Anizam memberikan penghargaan tinggi kepada warga dan penyokong JDT yang sentiasa bertungkus lumus serta kekal di belakang pasukan pada setiap masa.
“Malam ini boleh katakan malam JDT apabila kita mendominasi kebanyakan anugerah-anugerah malam ini, satu pencapaian yang keseluruhannya yang kita boleh banggakan. Jutaan terima kasih kepada peminat-peminat bola sepak khususnya JDT yang bersama pasukan semenjak dahulu lagi.
“Selain itu saya memberikan penghargaan kepada pihak penganjur yang saya boleh katakan ABK ini kali ini begitu meriah serta tahniah kepada Pengerusi ABK, (Mohd Joehari Ayub) kerana berjaya memastikan program malam ini berlangsung dengan baik,” katanya.
Foto : Johor Southern Tigers

Ulasan