JDT SI PENJARAH KEJUARAAN

JDT SI PENJARAH KEJUARAAN
Tahun 2019 menyaksikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melalui musim yang indah dan gemilang apabila berjaya mendominasi kejuaraan utama yang dipertandingkan dalam arena bola sepak Malaysia.
Dari skuad akar umbi hingga ke skuad utama, JDT membuktikan bahawa empayar Harimau Selatan kini sudah mengukuhkan fondasi dan mendominasi segalanya.
PIALA SUMBANGSIH
Piala Sumbangsih 2019 adalah edisi yang ke-34. Dua pasukan yang menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun sebelumnya telah dijadualkan bertemu untuk merebut kejuaraan pembuka tirai musim 2019.
JDT hadir sebagai juara bertahan setelah berjaya membawa pulang piala tersebut pada tahun 2018. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2 Februari 2019 itu disaksikan lebih 22,150 orang.
Keputusan muktamad, JDT berjaya menundukkan Perak dengan jaringan 1-0 hasil jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-40. Kejuaraan ini menjadi signal amaran kepada kesemua pasukan dalam Liga Super Malaysia bahawa Harimau Selatan sudah bersedia untuk terus menguasai singgahsana Liga Super Malaysia.
LIGA SUPER MALAYSIA
Liga Super Malaysia 2019 pula merupakan edisi yang ke-16, sejak liga profesional bola sepak di Malaysia diperkenalkan pada tahun 2004. JDT unggul menjulang piala ini sejak tahun 2014 dan berjaya mempertahankan kejuaraan sehingga kini.
Dengan kutipan 53 mata meninggalkan jauh pesaing di tangga kedua membuktikan penguasaan mutlak Harimau Selatan tidak boleh dipertikaikan. Pada tahun 2019 juga, JDT tidak perlu menunggu baki saingan liga tamat untuk dinobatkan juara kali keenam berturut-turut. Pada 26 Jun 2019, JDT mengesahkan status selaku Juara Liga Super 2019 selepas membenam Melaka 1-2 di Stadium Hang Jebat.
JUARA PIALA MALAYSIA
JDT berjaya menjulang piala tertua Asia iaitu Piala Malaysia pada musim ini setelah kali terakhir merangkulnya pada tahun 2017. Stadium Nasional Bukit Jalil telah menjadi gelanggang pertembungan perlawanan yang diadakan pada 2 November 2019 dan disaksikan lebih 80 ribu penyokong yang hadir.
Dengan langkah bergaya JDT telah berjaya menundukkan pasukan Kedah dengan tiga jaringan tanpa balas. Pengguasaan mutlak JDT pada malam tersebut menunjukkan betapa Harimau Selatan berada dalam kelas yang berbeza.
Safawi Rasid pula telah diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir disamping dinobatkan sebagai penjaring terbanyak.
JUARA CHALLENGE CUP
Pada 13 Oktober 2019, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menamatkan episod gemilang dalam persaingan Challenge Cup edisi kedua. Kemenangan yang diraih begitu dramatik setelah menewaskan UKM FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Pemain pertahanan, Fadhli Shas muncul wira JDT II apabila menyempurnakan sepakan kemenangan Harimau Selatan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat. Jika dilihat pada langkah awal JDT II dalam perebutan Piala Cabaran kali ini amat memberangsangkan.
Tiga kemenangan dan satu seri pada peringkat kumpulan, membuktikan bahawa keseluruhan pemain amat fokus dalam mengimplementasikan segala taktikal serta strategikal yang direncanakan oleh barisan jurulatih.
Pencapaian menjadi juara kumpulan juga menjadi perkara yang amat membanggakan memandangkan diletakkan bersama dua lagi pasukan yang mempunyai sejarah gemilang dalam liga utama tempatan iaitu Kelantan dan Sarawak.
KEJUARAAN PERINGKAT AKAR UMBI
Pembangunan akar umbi (Grassroot Development) adalah perkara lazim yang menjadi keutamaan dalam kesinambungan kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dengan kesedaran yang kuat atas kepentingan teras jangka hayat Harimau Selatan, segala perancangan terperinci telah diaturkan demi kelancaran perjalanan mengimplementasikan aspirasi tersebut. Pada musim ini, projek pembangunan akar umbi JDT telah mula membuahkan hasil rentetan beberapa kejuaraan yang telah dijulang.
Bermula dengan kejayaan JDT U12 yang menjadi juara kejohanan bolasepak MSSM 2019 setelah menewaskan Selangor U12 2-0 (08/08/2019), diikuti kejayaan JDT U14 menjulang Piala KPM U14 (14/09/2019) setelah menewaskan SSN Kelantan U14 3-0. Ia kemudiannya diikuti kejuaraan berganda pada kejohanan tersebut apabila JDT U17 pula dinobatkan sebagai juara Piala KPM U17 setelah menewaskan Selangor U17 4-1 pada hari yang sama.
Akhir kata, ini adalah petanda amaran kepada bola sepak Malaysia. JDT kini serius sedang meluaskan kuasa secara menyeluruh.
“Kita hidup hanya sekali sahaja dan saya tidak mahu membazirkan masa hanya untuk tidur. Saya telah dilatih sekiranya ingin berjaya, saya harus sentiasa berdisiplin dan berazam. Saya berazam mahu meninggalkan sebuah legasi kepada pencinta bola sepak Malaysia khususnya Johor. Saya tahu yang kota Rome tidak dibina dalam masa satu hari dan saya pasti Julius Caesar tidak membina kota Rome semasa sedang beradu.”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan