“NAMPAK mudah kerana kami menang 3-0 tapi sebenarnya sukar apatah lagi Kedah pasukan yang bagus.”
Itu ulasan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora selepas melihat anak buahnya menjulang Piala Malaysia buat kali kedua apabila menundukkan Kedah 3-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Jelas Mora, anak didiknya beraksi cukup baik sepanjang 90 minit dan memuji komitmen mereka.
“Saya memuji prestasi yang memberi tekanan cukup hebat kepada lawan dari wisel permulaan lagi.
“Saya menyangkal jika ada yang mengatakan kami menang mudah kerana Kedah juga memberi tentangan terutama pada babak kedua.
“Mungkin disebabkan ketiadaan pemain utama membuka jalan buat kami untuk mendominasi aksi dan sekali lagi komitmen dan fokus pemain saya menyaksikan kami meraih kemenangan,” katanya sejurus aksi malam tadi.
Tiga gol JDT disumbangkan oleh Leandro Velazquez (minit-26), Safawi Rasid (m-34) dan Syafiq Ahmad (m-58) buat menghadiahkan piala ketiga musim ini selepas Piala Sumbangsih dan Liga Super.
“Saya sungguh bertuah berada dalam projek JDT dengan pasukan meraih kejuaraan demi kejuaraan.
“Apa pun, pujian harus diberikan kepada pengurusan kelab dan pemain yang bertungkus-lumus sepanjang musim ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan