Kapten pasukan JDT, Hariss Harun (kanan) bersama Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar bergambar bersama Piala Malaysia ketika sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mungkin boleh dianggap antara pemain yang cemerlang jika melihat kepada ‘limpahan’ trofi yang dimenangi pemain Singapura itu.
Enam kejuaraan Liga Super, satu Piala FA, empat Piala Sumbangsih serta satu Piala AFC sudah cukup membuktikan kaliber pemain berusia 28 tahun itu namun kabinet trofinya masih tidak lengkap kerana dia masih belum menjulang Piala Malaysia.
Ketika JDT memenangi Piala Malaysia pada 2017, Hariss tidak bersama pasukan itu kerana dia mengharungi musim pinjaman bersama Home United selepas hasrat untuk beraksi di Sepanyol tidak kesampaian.
Justeru, kejuaraan Piala Malaysia pasti menjadi sasaran pemain tengah itu pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini sekali gus melengkapkan trofi kejuaraan domestik dalam kancah bola sepak tempatan.
“Jika sudah sampai ke final, sudah pasti kami mahu menang. Pasukan kami sudah bekerja keras untuk mara sehingga ke peringkat ini.
“Satu perlawanan dengan atmosfera yang hebat dan juga sokongan daripada penyokong JDT.
“Objektif kami tetap sama dan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi malam esok (malam ini),” katanya.
Dalam masa sama, Hariss mengakui kehadiran jurulatih dari negara kelahirannya, Aidil Sharin Sahak menjadikan Kedah sebuah pasukan yang lebih baik.
“Corak permainan yang dia mahu terapkan adalah sama seperti yang Kedah tunjukkan ketika ini.
“Tidak banyak bezanya untuk sepanjang tahun ini. Mereka nampak lebih baik,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan