Empat faktor Kedah, JDT julang Piala Malaysia

Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Kapten pasukan JDT, Hariss Harun bergambar bersama Piala Malaysia ketika sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Sebut sahaja Johor Darul Ta'zim (JDT), tiada perkataan lain yang digambarkan selain pasukan gergasi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.
Justeru, tidak hairanlah skuad Harimau Selatan yang dilabel sebagai pasukan serba lengkap memiliki kelebihan untuk menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Namun, ketika pilihan juara Piala Malaysia lebih terarah kepada JDT, Kedah juga sebenarnya memiliki kemampuan untuk melakar sejarah pada final kali ini.
Harus diingat bahawa pencapaian Helang Merah musim ini boleh dikatakan cemerlang selepas muncul juara Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok empat terbaik.
Berikut adalah empat sebab kenapa JDT dan Kedah mampu menjulang Piala Malaysia musim ini:
KEDAH
1. Aura juara
Sejarah menjuarai Piala Malaysia lima kali dan Piala FA lima kali sudah cukup untuk melabelkan Kedah sebagai pakar di pentas final.
Tidak mustahil aura kejuaraan itu akan menjadi kekuatan tambahan untuk Helang Merah meranapkan impian JDT menjulang Piala Malaysia musim ini.
2. Semangat Helang Merah 
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini boleh dianggap sebagai antara 'pasukan degil' dalam saingan Liga Malaysia.
Kebangkitan dramatik pada aksi separuh akhir pertama dan kedua ketika menyingkirkan Pahang menunjukkan semangat pemain Kedah tidak mudah luntur sebelum wisel penamat.
3. Magis Aidil Sharin
Kejayaan menjulang Piala FA sudah boleh dianggap Aidil Sharin Sahak lulus pada penampilan sulung bersama Kedah.
Pengendali dari Singapura itu sudah pasti enggan melepaskan peluang menjulang piala kedua musim ini dengan merencana taktikal ampuh buat Helang Merah.    
4. Misi balas dendam
Selepas tewas kepada JDT di pentas final Piala Malaysia dua tahun lalu, Kedah pasti tidak rela episod sama berulang.
Malah, Kedah juga mahu membuktikan kontroversi perpindahan Akhyar Rashid pada awal musim ini tidak menjejaskan persembahan mereka musim ini.
JDT
1. Pemain berstatus bintang
JDT dibarisi tonggak yang cukup berkualiti di segenap posisi termasuk juga pemain simpanan. Selain dibantu pemain import bertaraf lima bintang, skuad itu turut disokong dengan bintang tempatan yang kebanyakan berstatus pemain kebangsaan.
Kelibat penyerang Safawi Rasid dan Diogo Luis Santo juga sentiasa menimbulkan perasaan gerun buat lawan yang bakal berdepan JDT kerana kepakaran dua pemain itu dalam mencipta jaringan.
2. Rekod pertemuan
Jika dilihat kepada rekod dua pertemuan dalam Liga Super musim ini, ia jelas memihak JDT selepas mereka seri 1-1 dan menang 2-0 berdepan Kedah.
Berdasarkan rekod enam pertemuan terakhir juga, Kedah hanya menang sekali ketika aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lalu.
3. Prestasi semasa
JDT muncul pasukan paling konsisten sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini apabila mereka tidak pernah tewas sepanjang saingan itu.
Malah, anak buah Benjamin Mora juga memiliki keupayaan tinggi untuk mencipta kemenangan walaupun bukan di gelanggang sendiri.
4. Ketiadaan Rizal dan Alves
Ketiadaan dua tonggak pertahanan utama Kedah, Rizal Ghazali dan Renan Alves menguatkan lagi peluang JDT untuk meraih kemenangan ke atas Kedah.
Malah, ia dilihat melemahkan bahagian benteng Kedah selepas dua pemain itu menjadi antara watak penting membawa Helang Merah ke final.

Ulasan