Dua tonggak B-18 pilih Selangor


MAHUKAN pendedahan secara menyeluruh dan berpeluang beraksi dalam pasukan utama menyebabkan dua pemain skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili memilih Selangor sebagai destinasi mengembangkan bakat masing-masing pada masa akan datang.
Walaupun dua pemain berkenaan menerima dua tawaran lain daripada pasukan negeri kelahiran dan Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka melihat Selangor lebih bersungguh mendapatkan mereka untuk diserapkan dalam pasukan.
Sikh Izhan Nazrel yang juga penjaga gol utama skuad B-18 berkata, dia lebih memilih Selangor sebagai destinasi musim hadapan berikutan berhampiran dengan keluarga selain memudahkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

AHMAD Zikri (kiri) mengasak pemain Thailand, Arthit Bua Ngam pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Bukit Jalil.
Katanya, JDT pasukan bagus dan terbaik selain persaingan sihat mampu meningkatkan lagi prestasi namun pada masa Selangor turut semakin meningkat selain berusaha menyediakan fasiliti terbaik kepada pemain.
“Jika ikutkan saya terima dua tawaran daripada JDT dan Selangor selain kampung halaman Pulau Pinang turut memanggil untuk bermain bersama mereka.
“Cuma saya berat kepada Selangor untuk mengembangkan lagi bakat namun sekarang ini belum lagi tandatangan kontrak bersama mereka,” katanya, di sini.
Sementara itu, Ahmad Zikri yang juga pemain kelahiran Pahang menolak tawaran daripada negeri asal kerana tertarik kepada tawaran Selangor kerana mempunyai pelan pembangunan lebih tersusun.
“Saya pilih Selangor sebab mahukan minit perlawanan dan peluang cerah diserap dalam pasukan utama selain permainan akan cepat matang. JDT seperti kita ketahui sememangnya mempunyai fasiliti lengkap dengan pemain hebat berada di sana cuma lebih baik saya berada atau menimba pengalaman bersama skuad Gergasi Merah,” katanya.

Ulasan