Davies, Corbin-Ong, Shahrul rebut gelaran pertahanan terbaik



DARI kiri; Matthew Davies, La'Vere Corbin-Ong dan Shahrul Saad. - Foto Aizuddin Saad/Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Tonggak kebangsaan mendominasi senarai akhir tiga pemain akan merebut gelaran pertahanan terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) Khamis ini.
Mengetuai senarai itu adalah dua pemain warisan termasuk bekas pemenang kategori itu pada edisi 2017, Matthew Davies dari Pahang diikuti La'Vere Corbin-Ong (JDT) dan Shahrul Saad (Perak).
Davies yang pernah mengecap kejayaan selaku pemenang Anugerah Pemain Muda Terbaik 2015, berkata untuk berada dalam senarai calon sentiasa menjadi idaman setiap pemain.
“Tahun ini kita dapat lihat ramai pemain sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang dan saya sedar bukan senang untuk saya rebut gelaran ini buat kali kedua.
“Untuk tercalon dalam tiga terbaik sudah cukup bermakna dan saya percaya hanya pemain yang benar-benar terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang nanti,” katanya. 
Dalam perkembangan lain, Shahrul melihat kehadiran dua pemain warisan itu meletakkan dirinya sebagai calon bukan pilih untuk mempertahankan gelaran itu.
“Tercalon dalam kelompok tiga terbaik pun sudah cukup baik untuk saya tetapi untuk memenanginya sekali lagi pada tahun ini memang agak sukar. Davies ada auranya yang tersendiri.
"Begitu juga dengan Corbin Ong yang tampil cemerlang bersama JDT dengan memenangi Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.

Ulasan