Curran Ferns Kembali Ke Malaysia, Sah Sertai Melaka United Untuk Musim 2020

Pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh Ferns kini sah menyarung jersi Melaka United untuk saingan Liga Super 2020. Perkara tersebut telah diumumkan menerusi laman Facebook rasmi, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), sebentar tadi.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Melaka United daripada kelab Port Melbourne FC di Liga Australia (NPL), yang disertainya pada pertengahan musim lalu. Sebelum itu, Curran Ferns adalah pemain kelab Sukhothai FC yang bersaing di Thai League 1.
Bersama Port Melbourne FC, Curran Ferns sempat membuat 10 penampilan dan kelab tersebut telah menamatkan musim 2019 dengan berada di kedudukan ke-9 daripada 14 kelab bertanding.
Pemain yang berpotensi diserap ke dalam skuad kebangsaan itu pastinya mengejutkan ramai pihak apabila kembali ke Malaysia untuk bersama Melaka United setelah merantau ke Thailand dan Australia sejak meninggalkan Felda United pada pertengahan 2018.
Dalam pengumuman yang dibuat tersebut, pihak pengurusan pasukan mengharapkan pengalaman pemain tersebut dapat dimanfaatkan oleh pasukan untuk saingan musim hadapan.
“Semoga dengan pengalaman pemain ini beraksi dalam Liga Malaysia bakal memperkuatkan lagi cabaran Melaka United sebagai sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan dalam semua pertandingan musim depan,” memetik kenyataan rasmi di laman Facebook Melaka United menerusi pengumuman itu.
Curran Ferns tiba di Malaysia apabila menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan telah beraksi bersama JDT II pada musim 2016 sebelum menyertai Negeri Sembilan pada pertengahan musim tersebut.
Selepas bersama Negeri Sembilan hampir setahun, FELDA United memancingnya untuk bersama mereka dan telah membantu kelab yang berpengkalan di Jengka itu meraih kejuaraan Liga Premier 2018 – selepas disingkirkan daripada Liga Super penghujung 2017.

The Fighters disingkirkan daripada Liga Super akibat masalah perlesenan kelab dan kemudian dirundung masalah kewangan yang serius menyebabkan majoriti pemain termasuk pengendali ketika itu, B. Satiananthan terpaksa meninggalkan kelab.
Curran Ferns masih mengitai peluang untuk bersama Harimau Malaya apabila menjelaskan penyertaannya ke kelab di Thai League 1 ketika itu adalah untuk mencuri perhatian pengurusan skuad kebangsaan bagi memilihnya ke Kejohanan AFF Suzuki.
Kredit Featured Image: Stadium Astro

Ulasan