Reaksi Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar pada Perlawanan Liga Super. - Foto Sharul Hafiz Zam
KUALA LUMPUR: Kekalahan 2-0 Kedah di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia 2017 jelas masih berbekas dalam hati kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Namun, aksi final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok memberikan peluang terbaik untuk Baddrol menebus kehampaan, apatah lagi mereka akan bertemu lawan sama yang pernah mengecewakan mereka dua tahun lalu.
Justeru, perancang tengah itu mengharapkan rezeki berpihak kepada Kedah kali ini selepas mara ke perlawanan akhir trofi keagungan itu buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.
“Mungkin ini peluang terbaik untuk saya dan kejuaraan itu juga menjadi sasaran saya. Saya mengharapkan rezeki akan menjadi milik kita.
“Satu saingan yang sengit di bahagian tengah kerana saya perlu bekerja keras untuk mengekang pemain tengah JDT. Saya akan tunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menentang JDT,” katanya.
Dalam masa sama, Baddrol mengakui motivasi rakan sepasukannya tetap berada dalam keadaan yang terbaik sekalipun turun tanpa dua tonggak, Rizal Ghazali dan Renan Alves yang digantung.
“Ada sedikit perbezaan daripada final Piala FA kerana kali ini, kita turut kehilangan Rizal. Bagi saya, ini adalah perlawanan yang sukar tetapi motivasi kami tetap sama untuk satu tujuan.
“Kami akan berusaha memberikan yang terbaik dan bermain bermati matian untuk perlawanan malam esok,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan