Al Hilal julang trofi Liga Juara Juara Asia


AL Hilal menjuarai Liga Juara Juara Asia buat pertama kali selepas menewaskan Urawa Red Diamonds 2-0 pada final kedua di Stadium Saitama dan menang dengan agregat 3-0 ke atas juara dua kali dari Jepun itu hari ini.
Salem Al Dawsari membuka tirai jaringan dari jarak dekat ketika permainan berbaki 16 minit sebelum Bafetimbi Gomis mengesahkan kemenangan pada masa kecederaan sekali gus membawa pulang trofi kali pertama ke Arab Saudi dalam masa 14 tahun.
Ia trofi pertama Liga Juara Juara Asia buat Al Hilal sejak kejuaraan itu diwujudkan pada 2002 dan ketiga dalam kejuaraan perdana benua itu selepas muncul juara Kejohanan Kelab Asia pada 1991 dan 2000.
Al Hilal juga kelab pertama dari Asia Barat muncul juara selepas kelab Qatar, Al Sadd melakukannya pada 2011 dan juga kelab pertama Arab Saudi menjuarainya sejak kejayaan dua tahun berturut-turut Al Ittihad pada 2005.
Berbekal kemenangan 1-0 pada saingan pertama hasil jaringan pemain antarabangsa Peru, Andre Carrillo, Al Hilal menghampakan kelab Jepun itu dengan kekentalan pertahanan yang hanya membenarkan penyerang tuan rumah membuat beberapa percubaan.

Ulasan