PEMAIN muda meningkat naik Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengintai tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan itu pada musim 2020.
Bersama JDT, bekas pemain sayap Kedah berusia 20 tahun itu antara pemain muda tempatan memiliki potensi besar selain berpengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa apabila membuat empat penampilan bersama JDT di pentas saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Kelincahan Muhammad Akhyar serta bakat dimilikinya turut memikat ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau bersama skuad kebangsaan dalam beberapa kejohanan besar termasuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Namun, beliau yang dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 semalam, masih gagal menempatkan diri sebagai pemain utama skuad JDT dan anugerah itu membakar semangatnya untuk terus berusaha.
“Sasaran pada musim 2020 adalah untuk bekerja keras bersama pasukan JDT dan cuba mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama atau sekurang-kurangnya lebih kerap diturunkan. Ia akan membantu saya meraih lebih pengalaman.
“Anugerah ini sudah tentu saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk mengharungi musim depan dan terus pulun dalam sukan bola sepak,” katanya pada majlis ABK 2019, semalam.
Bercakap mengenai pengalaman selepas semusim bersama JDT, Muhammad Akhyar mengakui ia mempengaruhi peningkatan prestasinya setakat ini.
“Dari Kedah ke JDT memang penambahbaikan itu sangat banyak, saya berterima kasih kepada JDT kerana memberi saya banyak pengalaman seperti bermain di ACL.
Kemudahan juga terbaik selain saya dikelilingi rakan sepasukan yang hebat serta bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang terbaik,” katanya.
Muhammad Akhyar yang merangkul Piala Sumbangsih dan Piala FA bersama Kedah pada musim 2017 berhijrah ke JDT untuk musim 2019 selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
Ulasan
Catat Ulasan