JURULATIH Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan beliau lebih selesa skuad kendaliannya dilabel sebagai pasukan bukan pilihan menjelang aksi final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Ini kerana Aidil yang masih segar dengan kejayaan membantu skuad Helang Merah menjuarai Piala FA di gelanggang sama Julai lalu, lebih berminat untuk menyaksikan anak buahnya bermain tanpa tekanan pada perlawanan terakhir dalam kalendar Liga Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, Aidil mengakui Kedah sentiasa teruja bertemu pasukan hebat seperti JDT dan ia akan menyuntik moral pasukan bimbingannya untuk bermain dengan lebih baik pada aksi final.
Apa yang pasti, pengendali dari Singapura itu membayangkan pertemuan menentang skuad Harimau Selatan satu perlawanan sengit dan sukar.
“Pertama sekali kami bangga dapat bermain lagi di final dalam satu musim. Perjalanan kami sungguh menakjubkan dan final ini bukan mudah dan kami sedar JDT pasukan yang kuat kerana mereka serba lengkap di semua posisi.
“Tapi ini final dan apa yang perlu kami lakukan adalah memberi persembahan 100 peratus serta menikmati suasana perlawanan ini.
“Saya rasa dalam bola sepak perlukan tuah dan tuah juga satu daripada resipi kejayaan.
“Kami tidak melihat kepada yang lepas (keputusan lalu) kerana yang dah lepas sudah menjadi sejarah dan apa yang penting adalah esok.
“Kami kena turun dan beri yang terbaik 100 peratus kerana bukan semua pasukan dan pemain dapat peluang beraksi di final. Kami kena ambil peluang ini dan ‘enjoy’ di final.
“Saya suka dilabel ‘underdog’. Saya selalu katakan kepada pemain apabila bertemu lawan yang lebih bagus, kami tidak boleh bermain dalam tekanan yang akhirnya boleh mencetus kesilapan mudah.”
Ulasan
Catat Ulasan