ACL, JDT dan peningkatan kualiti Liga-M punca Harimau Malaya semakin bagus
Kualiti Liga Malaysia yang semakin tinggi khususnya saingan Liga Super selain pendedahan Johor Darul Takzim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah antara faktor yang menjadikan Harimau Malaya semakin bagus.
Demikian pandangan pemerhati bolasepak tanah air, Pekan Ramli.
Malaysia pada sepanjang bulan ini mengharungi tiga aksi antarabangsa dan memenangi ketiga-tiganya iaitu 1-0 ke atas Tajikistan dalam aksi persahabatan serta 2-1 ke atas Thailand dan 2-0 ke atas Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Keputusan positif itu membantu Harimau Malaya melonjak empat anak tangga dalam kemaskini terbaru ranking FIFA, ke kedudukan 154 dunia berbanding 158 pada bulan lalu.
Pekan berkata prestasi dan tahap pasukan kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe kini berada setakuk lebih baik sambil menyifatkan kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan turut membantu.
“Kelompok pemain JDT yang beraksi dengan Harimau Malaya ternyata membuktikan betapa standard atau kualiti permainan mereka begitu matang kerana pendedahan yang mereka terima seperti ACL kerana berdepan dengan beberapa pasukan terhebat Asia.
“Kebanyakan pemain dari pasukan lain juga sudah ada sikap mahu mencabar kepada kemampuan JDT apabila sering kali menampilkan kemampuan individu yang tinggi serta konsisten.
“Justeru, gabungan pemain-pemain yang datang dari Liga Malaysia adalah tunjang kepada Harimau Malaya yang mula menampakkan kukunya pada akhir-akhir ini, ” katanya.
Sementara itu, Pekan turut memuji langkah Malaysian Football League (MFL) yang cuba memastikan Liga Malaysia ke arah pengurusan lebih baik dengan beberapa pembaharuan akan diperkenalkan pada musim 2019.
Antara pendekatan MFL yang dilihat mampu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia ialah pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) dan Next50 Strategic Blueprint 2021-2070.
Namun beliau berharap semua langkah itu mampu didokong sepenuhnya oleh semua persatuan bola sepak negeri dan kelab selain percaya kepimpinan Datuk Hj Hamidin Hj Mohd Amin selaku Presiden MFL mampu melancarkan lagi pelaksanaan liga ke arah lebih proaktif.
“Cuma permasalahan dialami oleh sebahagian rakan utama (rakan kongsi Liga Malaysia) masih lagi di luar kawalan dan saya percaya itu sedikit sebanyak mengguris perasaan MFL.
“Bagaimanapun, saya optimis kehadiran Presiden MFL (Datuk Hj Hamidin) amat praktikal jika melihat kepada konteks kepimpinan serta kawalan terhadap industri bola sepak negara.
“Beliau mampu memastikan kelangsungan bola sepak di negara ini kekal sebagai industri sukan besar dan bukan bersifat industri kecil atau sederhana,” katanya.
Foto : Sportflex Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan