"ABK PENCETUS SEMANGAT PEMAIN TEMPATAN" - SAFAWI RASID #ABK19


"ABK PENCETUS SEMANGAT PEMAIN TEMPATAN" - SAFAWI RASID

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mengakui pentas Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) adalah antara pencetus semangat buat mana-mana pemain untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Jelasnya, untuk berada di pentas berprestij itu adalah pengiktirafan tertinggi dalam arena bola sepak tempatan dan pemain perlu berusaha keras untuk menggapai impian itu.

“Memang bukan saya saja yang suka dan berbangga dengan anugerah ini, malah pemain lain juga kerana ia seperti menghargai jasa-jasa kami yang bermain dalam Liga Malaysia dan meningkatkan lagi semangat untuk berlatih dua kali ganda bagi mendapatkan trofi itu pada masa akan datang.

“Tahun lepas saya dapat  anugerah MVP (Pemain Paling Bernilai) dan dua trofi dalam usia yang muda, kalau boleh memanglah saya nak dapat lagi MVP tahun ini tetapi saingan agak sengit tetapi saya berharap penyokong akan terus menyokong perjalanan karier saya,” katanya.

Bagi ABK 2019 yang akan berlangsung Jumaat ini, pemain berusia 22 tahun itu berada dalam pencalonan akhir bersama penyerang senior Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) dan J. Partiban (Perak) untuk merebut gelaran Penyerang Terbaik.

Safawi bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya mempertahankan gelaran yang dimenangi selepas merangkul tiga trofi MVP, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan ABK 2018.

Jelasnya, anugerah MVP pastinya akan diberikan kepada pemain yang benar-benar layak untuk memegang gelaran tersebut dan Safawi tidak menolak musim 2019 begitu mencabar untuknya di mana pemain lain juga tidak kurang hebatnya untuk menyerlah pada tahun ini.

“Saya rasa saingan sangat kuat sebab ramai yang berada dalam prestasi yang baik sekarang ini dan saya tidak kisah siapa yang akan mendapat gelaran MVP janji saya dicalonkan, itu pun sudah cukup baik untuk karier bola sepak saya,” katanya.

Seandainya Safawi berjaya meraih gelaran MVP sekali lagi, anak jati Terengganu ini tidak menolak ia akan menjadi pelengkap yang cukup manis dalam kariernya pada musim ini selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia.

Seandainya Safawi berjaya meraih gelaran MVP sekali lagi, anak jati Terengganu ini tidak menolak ia akan menjadi pelengkap yang cukup manis dalam kariernya pada musim ini selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu pencabar terdekat Safawi bagi Anugerah Penyerang Terbaik, Norshahrul Idlan Talaha turut menyimpan hasrat untuk menggenggam trofi itu sekali lagi selepas melakukan hatrik pada 2010, 2011 dan 2012 termasuk gelaran MVP pada tahun yang sama ketika bersama Kelantan.

“Kalau boleh memang saya ingin kembali memenangi anugerah ini yang pernah berikan kenangan istimewa kepada saya sepanjang bergelar pemain dan menaikkan nama saya pada satu ketika dahulu.

“Secara tidak langsung pengiktiran itu boleh memberikan kembali keyakinan kepada saya ketika beraksi,” katanya yang turut dikenali sebagai Matyo.

Dalam pada itu bagi penyerang The Bos Gaurus, Partiban pula berkongsi perasaan berbeza.

“Sudah semestinya saya terkejut apabila tercalon buat kali pertama kerana bukan senang untuk mana-mana pemain tercalon. Apa-apa pun, pesaing saya iaitu Safawi Rasid dan Matyo sememangnya layak untuk berada di “Top 3” dan saya berbangga dapat bersaing bersama pemain hebat seperti mereka,” katanya.

ABK 2019 yang menjadi acara kemuncak arena bola sepak tanah air bakal berlangsung pada 15 November ini. Saksikan siaran langsung acara bermula 8,30 malam di Facebook Live MFL dan di saluran Football Malaysia on iflix.

Ulasan