PENYOKONG beratur untuk membeli tiket di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam
ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengingatkan penyokong pasukan itu agar berwaspada dengan jualan tiket palsu menjelang aksi final Piala Malaysia 2019 membabitkan Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT).
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA, Jusri Anuar Jamarudin, berkata kehadiran ulat tiket dijangka meningkat pada saat akhir sebelum perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
“Kita bimbang mungkin ada penonton yang tidak sempat membeli tiket di kaunter akan diperdaya ulat tiket yang berkeliaran di luar stadium.
“Di Stadium Darul Aman juga mungkin ada ulat berkeliaran, namun kita melakukan pantauan kerana bimbang jika ada yang terbeli dari mereka,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Jusri berkata, tiket palsu kelihatan seakan-akan asli, namun tidak mempunyai kod bar.
“Kita bimbang penyokong Hijau Kuning yang terbeli tiket palsu akan pulang kehampaan selepas mendapati tiket itu tidak sah. Oleh itu, kita minta semua penyokong membeli tiket menerusi kaunter tiket sah.
“Bayangkan berapa banyak keuntungan yang bakal diperolehi ulat-ulat tiket sekiranya mereka berjaya memperdaya penyokong kedua-dua pasukan,” katanya.
Jusri berkata, KFA sudah menambah baik sistem penjualan tiket dengan lebih cekap, sekali gus dapat memudahkan penyokong membuat pembelian.
KFA turut menetapkan syarat pembelian tiga keping tiket l bagi setiap seorang yang dapat membantu mengurangkan masa berbaris.
Tiket mula dijual pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 4 petang tadi.
Ulasan
Catat Ulasan