Tomok, Akim pilih JDT, Diana yakin Kedah mara final

Tomok (kiri), Akim (tengah) dan Diana. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Pahang dan Kedah bakal berlangsung malam esok, dengan peminat dan penyokong berharap pasukan kesayangan mereka mara ke final pada 2 November ini.
Selangor akan berentap dengan JDT di Stadium Shah Alam manakala Pahang melayan Kedah di Stadium Darul Makmur, dengan kedua-dua perlawanan bakal bermula jam 9 malam.
Beberapa artis terkenal tanah air turut tidak ketinggalan memberi ramalan masing-masing ketika dihubungi BH.
Penyanyi, Tomok ketika mengulas mengenai pertemuan JDT dan Selangor, mengakui sukar untuk meramalkan pasukan mana yang akan menang esok. Namun beliau memilih JDT akan mengatasi Selangor 2-1 sekali gus mara ke final.
“Sukar untuk menjangka pasukan mana yang bakal mara ke pusingan akhir Piala Malaysia kali ini kerana JDT dan Selangor dilihat sama kuat. Boleh dikatakan juga, kedua-duanya pasukan pilihan saya. Justeru, saya berasakan perlawanan bakal berlangsung sengit nanti.
“Begitupun, saya rasa JDT ada sedikit kelebihan kerana mereka menang 2-1 pada perlawanan pertama. Namun, jangan pandang rendah terhadap pasukan lawan kerana apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Penyanyi kelahiran Johor, Akim Ahmad pula tanpa berselindung memilih JDT menang 1-0 ke atas Selangor.
“Sebagai anak jati Johor, semestinya saya berharap kemenangan berpihak kepada pasukan JDT. Namun, berdepan dengan Selangor bukan tugas mudah kerana kita semua tahu kekuatan mereka. Oleh itu, pasukan JDT seharusnya bermain dengan sebaik mungkin.
“Diharapkan JDT mampu mara ke pusingan akhir Piala Malaysia,” katanya.
Sementara itu, penyanyi, Ippo Hafiz pula memilih Pahang akan memenangi aksi di Stadium Darul Makmur.
“Saya menyokong pasukan Pahang kerana saya berasal dari sana. Saya percaya, pasukan Tok Gajah akan menunjukkan taring mereka bagi menewaskan Kedah. Rasanya, mereka akan menang 3-1, atau sekurang-kurangnya 2-1,” katanya.
Pelakon, Noorkhiriah turut senada dengan meletakkan skuad Tok Gajah akan mengatasi Kedah, 3-2.
“Sebagai orang Pahang, sudah tentu saya menyokong pasukan negeri kelahiran saya. Moga pasukan Pahang akan mara ke final Piala Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon, Diana Danielle pula menyifatkan Kedah akan mengatasi Pahang 1-0.
“Kedah mempunyai rekod yang bagus dalam pertandingan Piala Malaysia. Justeru tidak mustahil mereka mampu mengulangi pencapaian memasuki perlawanan akhir, seterusnya menjulang trofi idaman itu,” katanya.

Ulasan