Stadium Nasional Bukit Jalil venue final Piala Malaysia


Kevin

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang akan berlangsung pada 2 November ini membabitkan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam pada Mesyuarat Penyelarasan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019 yang turut dihadiri Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian.

Kali terakhir perlawanan akhir Piala Malaysia diadakan di SNBJ adalah pada 2014 yang menyaksikan Pahang muncul juara apabila menundukkan JDT dalam penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam aksi 120 minit.

SNBJ bagaimanapun meninggalkan kenangan manis buat Kedah selepas dinobatkan sebagai juara Piala FA 2019 pada Julai lalu dengan mengalahkan Perak 1-0 pada aksi final.

“Kita mengadakan satu mesyuarat bersama pasukan pada hari ini dan perkara paling utama kita putuskan adalah berkenaan venue perlawanan di mana kita telah memilih Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi final ini.

“Semua perancangan yang berkaitan dengan pengelolaan perlawanan turut kami bincangkan di mana akan ada juga beberapa aktiviti bersama pasukan yang kita perlu buat terutamanya bersama pihak media sebelum hari perlawanan.

“Apa yang penting, kita sudah berjaya tarik perhatian dunia ketika aksi final Piala FA sebelum ini dengan klip-klip video menarik daripada perlawanan tersebut dan itu salah satu sebab kita kena pastikan untuk lakukan yang lebih baik bagi aksi final Piala Malaysia pula,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Kevin turut menekankan penggunaan tempat duduk bernombor bagi perlawanan akhir ini tetapi dalam skala kecil yang melibatkan tempat duduk di bahagian Grandstand.

Jelasnya, sistem tempat duduk bernombor dalam berskala kecil itu adalah sebagai permulaan bagi memastikan penyokong-penyokong dapat membiasakan diri untuk mematuhi sistem berkenaan dalam kapasiti yang lebih besar dalam perlawanan-perlawanan lain akan datang.

“Untuk final kali ini, kami lakukan sama seperti final Piala FA sebelum ini melibatkan tempat duduk bernombor untuk penyokong dalam skala kecil.

“Kita akan pastikan tempat-tempat duduk penyokong yang bernombor ini dijaga dan tidak akan berlaku masalah salah tempat duduk dan sebagainya di mana dalam masa yang sama untuk kita mengharapkan sistem tempat duduk bernombor ini akan menjadi kebiasaan dalam skala yang lebih besar,” katanya.

Ulasan