Nafuzi Zain Tunggu Tawaran Kontrak


Selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2019 musim ini, nasib pemangku jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain kini dalam teka-teki sama ada beliau akan dikekalkan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan atau sebaliknya.
Jurulatih kelahiran Kelantan itu memaklumkan kepada Bernama, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menentukan masa depan beliau bersama kelab berkenaan.
“Setakat ini tidak ada apa-apa perkembangan lagi berhubung perkara itu kerana kami baru sahaja selesai perlawanan suku akhir dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu lalu.
“Lagipun saya sibuk dengan persiapan untuk ke Jepun bagi mendapatkan lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memenuhi syarat wajib sebagai jurulatih yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Masa depan saya bersama TFC saya serah sepenuhnya kepada PBSNT dan terbuka untuk terima apa sahaja keputusan yang baik untuk semua pihak,” katanya lagi.
Walaupun begitu, Nafuzi tidak dapat menyembunyikan harapannya agar beliau diberi peluang untuk terus membimbing TFC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Tambahan pula beliau sudah menganggap pasukan TFC sebagai sebahagian daripada keluarganya memandangkan dirinya telah sekian lama menabur bakti di negeri Terengganu sama ada sebagai pemain mahupun anggota kejurulatihan.
Nafuzi yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama pasukan Terengganu pada tahun 2011 mula mengambil alih kerusi Ketua Jurulatih TFC selepas Irfan Bakti meletak jawatan secara mengejut pada bulan Mei lepas.
Prestasi Terengganu di bawah bimbingan Nafuzi boleh dikatakan hanya pada tahap sederhana. Dalam saingan Liga Super, mereka menamatkan kempen di tangga ketujuh dan mengakhiri kempen Piala FA dan Piala Malaysia di peringkat suku akhir.
Namun demikian, keberanian Nafuzi untuk memberi peluang kepada ‘ubi’ Terengganu seperti Rahmat Makasuf, Sharin Sepien dan Haidhir Husaini untuk beraksi lebih kerap dalam skuad utama seharusnya diberi pujian.
Pemain-pemain muda berkenaan ternyata mampu menjadi tunjang utama pasukan apabila diberi lebih banyak minit permainan seterusnya bakal menjadi aset untuk pasukan berkenaan bagi menghadapi musim hadapan.

Ulasan