SHAH ALAM: Jurulatih Selangor, B Sathianathan mahu menggenggam tiket final Piala Malaysia sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya.
Katanya, keceriaan itu pasti berganda apatah lagi beliau akan menyambut perayaan Deepavali, esok.
Bukan itu saja, sekiranya mereka berjaya menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir malam ini, beliau juga mahu menghadiahkan kejayaan itu kepada seluruh penyokong Selangor.
Sathianathan juga yakin situasi itu bakal menjadi motivasi tambahan kepada beberapa pemain yang beragama Hindu seperti K Sarkunan, K Prabakaran dan A Namathevan.
“Memang ini yang dimahukan, bukan saja untuk saya serta pemain-pemain yang sedang bersama pasukan namun demi penyokong Selangor terutamanya yang beragama Hindu.
“Kami mahu jadikan suasana perayaan Deepavali nanti sebagai satu senario indah dan bermakna kepada mereka, jadi saya harap kami dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan, semalam.
Dalam pada itu, Sathianathan mengesahkan mereka akan terus kehilangan ayam tambatan di bahagian tengah, Endrick Dos Santos yang masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha namun beliau tidak terlalu bimbang dengan situasi berkenaan.
Kehadiran Sandro Da Silva sejak aksi separuh akhir pertama lalu sudah cukup membuatkan Sathianathan tersenyum lebar selain Sarkunan dan Abdul Halim Shaari yang mampu memikul peranan di bahagian tengah bagi mengekang penguasaan JDT.
“Endrick seorang pemain yang banyak membantu kami sebelum ini dan ketiadaan dia sememangnya satu kehilangan kepada pasukan apatah lagi dalam situasi seperti ini.
“Bagaimanapun, saya masih ada pemain lain seperti Sarkunan atau Halim bagi memegang watak di bahagian tengah selain kembalinya Sandro.
“Dua bulan berehat panjang, dia hampir mendapatkan rentak ketika aksi separuh akhir pertama walaupun belum sama ketika dia bermain di liga, tetapi saya nampak dia akan lebih bersedia berdasarkan situasi di tempat latihan,” katanya.
Pada separuh akhir pertama, JDT membawa kelebihan tipis 2-1 dari Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu menerusi gol daripada Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez, manakala Ifedayo Olusegun menjadi penjaring tunggal Selangor.
Ulasan
Catat Ulasan