Piala Malaysia 2019: Syafiq Ahmad Belum Puas Dengan Kemenangan di Larkin


Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan dua gol ke Stadium Shah Alam untuk perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia bertemu Selangor pada Sabtu ini. Satu daripada gol tersebut disumbang oleh penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad.
Namun demikian, Syafiq Ahmad jelas masih belum berpuas hati dengan satu gol tersebut kerana mahu memastikan pasukannya melangkah ke perlawanan akhir.
Syafiq Ahmad menjangkakan perlawanan kedua ini akan berlangsung dengan penuh dramatik memandangkan Selangor juga bukanlah calang-calang pasukan kerana masih memegang rekod 33 kali gelaran juara kejohanan tertua negara itu.
“Kemenangan tempoh hari memang bukan mudah kerana apabila di peringkat separuh akhir semua pasukan yang layak sama kuat dan sukar untuk diatasi. Mereka (Selangor) sentiasa memberi tekanan kepada kami di setiap ruang tempoh hari, menyukarkan kami untuk kekal konsisten di atas padang.
“Sebab itu saya rasa persembahan kami masih belum cukup memuaskan, tetapi saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang tidak berputus asa untuk memastikan kemenangan milik pasukan”, katanya seperti dipetik dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
PIALA MALAYSIA 2019 | PERLAWANAN SEPARUH AKHIR KE-2

SELANGOR VS JOHOR DARUL TA’ZIM
📍 Stadium Shah Alam
🗓 26 Oktober 2019 | Sabtu
🕘 9 malam (kick off)
📸: @asianadotmy

View image on Twitter

72 people are talking about this
Jurulatih JDT, Benjamin Mora sudah tentu tidak boleh duduk diam dengan kemenangan tipis di Larkin tempoh hari. Pasukan Selangor telah membuktikan semasa menentang Perak di peringkat suku akhir, mereka mampu bangkit dari ketinggalan pada perlawanan pertama sebelum membenam Perak 3-1 pada perlawanan kedua di Shah Alam.

Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada Sabtu lepas menyaksikan Syafiq Ahmad meletakkan JDT di depan sebelum penyerang import Selangor dari Nigeria, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan hanya berselang tiga minit kemudian.
Namun JDT ternyata berada di kelas tersendiri selepas menjaringkan gol kemenangan pada awal babak kedua menerusi pemain tengah sensasi mereka, Leandro Velazquez.
Rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan menyaksikan JDT unggul dengan dua kemenangan 3-2 dan 4-2 dalam saingan Liga Super musim ini. Kali terakhir Selangor menang ke atas JDT adalah pada Ogos 2017.
Kredit foto: Johor Southern Tigers

Ulasan