Piala Malaysia 2019: Safawi Hargai Sumbangan Rakan Sepasukan Bantu Ledak Hatrik


Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid memberikan kredit serta mengucapkan terima kasih buat rakan sepasukannya yang bekerja keras membantu sehingga beliau mampu meledakkan hatrik pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Jaringan pada minit ke-24, 46 dan 51 oleh pemain kebangsaan itu menghadirkan kemenangan 3-0 buat JDT sekaligus melengkapkan kejayaan 5-1 secara agregat.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan tersebut, Safawi jelas menganggap apa yang dikecapinya pada aksi bertemu Selangor itu adalah rezeki buatnya.
”Saya memang cakap [akui] pada perlawanan [separuh akhir] pertama saya agak penat kerana daripada skuad kebangsaan terus berlatih, tetapi bagi saya itu tiada masalah kerana saya merupakan pemain bola sepak profesional.”

”Jadi benda itu tiada hal pun, mungkin hari ini saya bermain ‘ok’, esok tak ‘ok’, jadi itu adalah rezeki.”
”Dorongan saya sebelum perlawanan malam ini [malam tadi], saya banyak membuat latihan tambahan dan tempat pemulihan di Johor miliki juga lengkap. Ia membantu dalam mempercepatkan proses pemulihan saya.”
”Saya tak kisah siapa yang menjaringkan gol, mungkin hari ini rezeki saya dan lepas ini mungkin rezeki orang lain. Bagi saya ini adalah kerja keras daripada kawan-kawan saya.”

”Semua ini berpunca daripada kawan-kawan dan saya perlu berterima kasih kepada mereka.”
Dalam pada itu, Safawi turut menyimpan hasrat untuk menjulang Piala Malaysia 2019 selepas beliau tiada dalam senarai 18 pemain  ketika JDT menjuarai saingan edisi 2017.
Kredit fotoJOHOR Southern Tigers

Ulasan