Piala Malaysia 2019: Kita Akan Suntik Dia Jika Perlu, Jelas B. Satiananthan


Di saat kem Selangor dalam mood yang sangat baik menjelang aksi timbal balik menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir kedua Piala Malaysia, mereka dikejutkan dengan kecederaan yang menimpa Khyril Muhymeen ketika sesi latihan.
Menurut laporan Goal.com, pemain yang teruja untuk membawa Selangor ke pentas final itu masih samar-samar untuk diturunkan malam ini dan ini disahkan oleh pengendali, B. Satiananthan.
“Meen [Khyril Muhymeen] telah mengalami kecederaan dan saya perlu tunggu laporan oleh pegawai perubatan. Ia memang tidak dapat dielakkan dengan keadaan padang latihan sebegini,” ujarnya yang ditemui pihak media sejurus sesi latihan Gergasi Merah.
“Saya harap ianya [kecederaan] boleh diselesaikan dengan suntikan ubat tahan sakit untuk membolehkannya beraksi. Saya akan lihat semula keadaannya 10 pagi esok [hari ini],” jelas Satiananthan.
Pemain berusia 32 tahun itu optimis dengan peluang yang dimiliki juara 33 kali Piala Malaysia itu dengan bantuan beraksi di halaman sendiri seperti ketika berjaya menewaskan Perak di suku akhir. Gergasi Merah bangkit memenangi perlawanan di Shah Alam dengan keputusan 3-1 dan layak ke separuh akhir (agregat 3-2).
Kali terakhir Gergasi Merah layak ke pentas final adalah pada edisi 2016 yang menyaksikan mereka tewas kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam.
Satiananthan seakan-akan menunjukkan yang pasukan ketika ini amat memerlukan kudrat Kyril Muhymeen dan jika suntikan tersebut diberikan, risiko kecederaan akan bertambah buruk.
Bekas pemain Kedah itu telah meledak empat gol dalam Piala Malaysia, malah hampir mencatat nama selaku penjaring jika percubaannya tempohari berjaya menghasilkan jaringan. Walaupun tewas, Selangor mempamerkan aksi terpuji.

“Walaubagaimanapun saya ada pelan B dan C, mana-mana pemain yang diturunkan nanti perlu tunjukkan yang mereka selayaknya bermain untuk pasukan,” tambah Satinananthan lagi.
Disamping itu, pengendali berusia 61 tahun itu turut mengesahkan yang pemain import, Endrick dos Santos tidak akan dapat beraksi sehingga musim berakhir apabila kembali dilanda kecederaan.
“Dia mengalami kecederaan yang sama dua kali musim ini, pemain semudanya,” jelasnya mengenai pemain berusia 24 tahun itu lagi.
Kredit Featured Image: FA Selangor

Ulasan