Kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad mahu rakan sepasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan di tempat lawan dalam aksi final pertama Piala Cabaran (Challenge Cup) 2019 menentang JDT II, malam ini.
Jelasnya, saingan final pertama itu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang cukup penting untuk mereka memastikan UKM FC membawa pulang bekalan selesa bagi aksi timbal balik di laman sendiri pada 12 Oktober ini.
Jika dilihat perlawanan akhir musim lalu menentang Terengganu FC II, mereka terikat seri 2-2 sebelum akhirnya gagal untuk meledak sebarang gol pada final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekali gus memberi kemenangan kepada skuad Pantai Timur itu.
Justeru, pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan jumlah gol di tempat lawan cukup penting untuk menghadirkan tekanan lebih awal kepada lawan sepertimana musim lalu sewaktu mereka menundukkan lawan sama di aksi separuh akhir.
“Kami harus fokus kepada kelebihan kami sendiri dan menggunakannya dengan baik untuk menguasai perlawanan malam esok [malam ini].
“Pastinya, gol di tempat lawan amat penting dan kami perlu gunakan apa sahaja peluang yang ada untuk jaringkan seberapa banyak gol.
“Ini kali kedua UKM FC mara ke final dan mahu atau tidak, kami semua kena memberikan lebih daripada 100 peratus usaha untuk mengatasi JDT II yang rata-ratanya mempunyai ramai pemain yang lebih berkualiti,” jelasnya.
Ulasan
Catat Ulasan