Penyokong terkejut Rizal, Alves tak beraksi di final


KHABAR mengenai dua pemain pertahanan Kedah yang dikatakan tidak dapat beraksi di final Piala Malaysia, Sabtu ini mengundang pelbagai persoalan dan reaksi penyokong.
Rata-rata mereka terkejut dengan maklumat yang mengatakan dua bintang utama di benteng pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali tidak dapat beraksi akibat penggantungan selepas masing-masing mengutip dua kad kuning pada aksi suku akhir dan separuh akhir.
Penasihat Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Azman Ahmad percaya ketiadaan dua pemain utama itu mampu memberi kesan dalam mengekalkan keampuhan benteng Kedah tetapi pada masa sama yakin ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak sedang memikirkan pelan B untuk digunakan.


“Kami tetap yakin dengan perancangan dan kebijaksanaan Aidil dan barisan kejurulatihan Kedah dalam usaha mencongak strategi baharu yang diperlukan pada posisi berkenaan. Jika perancangan jitu Aidil mampu membawa Lang Merah beraksi cemerlang musim ini dengan menjulang Piala FA dan menewaskan Pahang untuk ke final Piala Malaysia, kami juga yakin dengan sebarang perubahan dalam perancangan yang akan dilakukan.
“Kedah tetap memiliki pemain yang mampu membawa cabaran dan sebagai penyokong, kami sentiasa berdiri teguh dalam apa juga keadaan.” katanya.
Sementara itu, Fazli Mansor dari kelab Peminat Peminat Bolasepak Kedah (PBK) berkata, beliau meletakkan keyakinan tinggi ke atas perancangan Aidil bagi mencari peluang serta formula terbaik untuk perlawanan akhir.
“Beliau (Aidil) pastinya memiliki idea serta formula untuk mencongak strategi yang diperlukan jika ketiadaan Renan Alves dan juga Rizal Ghazali. Kami yakin beliau tahu apa yang perlu dikekalkan atau ditukar dan pastinya percaturan itu menjadi rahsia dan senjata utama buat Kedah.
“Apapun kami tetap mahu beliau dan pemain terus fokus dalam perancangan menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini.” katanya.

Ulasan