Penyokong tak bimbang Kedah tanpa Alves, Rizal

Pemain pertahanan Kedah Rizal Ghazali (kiri) dan Renan Alves tidak dapat beraksi di final Piala Malaysia. - NSTP/Amran Hamid


ALOR SETAR: Di sebalik kehilangan dua tonggak iaitu Renan Alves dan Rizal Ghazali yang digantung, penyokong Kedah tetap yakin pasukan kesayangan itu mampu mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.
Ketiadaan dua tonggak itu sudah pasti dirasai apatah lagi mereka membantu skuad Helang Merah mara ke final sekali gus menimbulkan 'lubang besar' dalam benteng pertahanan pasukan itu menjelang aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Namun, Penasihat Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Azman Ahmad percaya jurulatih, Aidil Sharin pasti memiliki rencana terbaik untuk merangka pelan paling berkesan dalam usaha menghadapi juara Liga Super itu.
"Kami tetap yakin dengan perancangan dan kebijaksanaan yang akan dicetuskan oleh Aidil dan barisan kejurulatihan Kedah dalam usaha mencongak strategi baharu yang diperlukan pada posisi berkenaan.
"Jika perancangan jitu oleh Aidil mampu membawa skuad Helang Merah beraksi cemerlang pada musim ini dengan menjulang Piala FA dan menewaskan Pahang untuk ke final Piala Malaysia, kami juga yakin dengan sebarang perubahan dalam perancangan yang akan dilakukan.
"Kedah tetap memiliki pemain yang mampu membawa cabaran dengan semangat juang tinggi dan sebagai penyokong, kami sentiasa berdiri teguh memberi sokongan dalam apa jua keadaan," katanya.
Bagi Fazli Mansor dari kelab Peminat Peminat Bolasepak Kedah (PBK), dia optimis segala perubahan yang bakal dilakukan Aidil nanti mampu memberi impak positif kepada pasukan untuk membantu Kedah memburu gelaran Piala Malaysia buat kali keenam.
"Aidil tentu memiliki idea serta formula terbaik untuk mencongak strategi yang diperlukan jika ketiadaan dua pemain pertahanan itu.
"Kami yakin jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan. Apapun kami mahu pasukan terus fokus dalam perancangan untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijangka begitu sengit ini," katanya.

Ulasan