Penyokong Lang Merah pulun tiket


HAMPIR 5,000 penyokong Kedah membanjiri Stadium Darulaman pagi ini bagi mendapatkan tiket aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang memulakan penjualan tiket tepat pukul 10.30 pagi membuka lima kaunter bagi mengelak kesesakan.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA, Jusri Anuar Jamarudin berkata, urusan penjualan tiket membabitkan lima kaunter berjalan lancar dan tersusun.
"Kami dapati pembeli sudah mula berkumpul di kaunter tiket ditetapkan sejak awal pagi tadi dan melalui laporan semasa semua urusan di kaunter tiket terkawal dan lancar tanpa sebarang kejadian tak diingini."


“Kami juga ada menyediakan unit keselamatan KFA yang bersedia memantau keadaan semasa serta pemantauan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di sekitar Stadium Darulaman."

SEBAHAGIAN penyokong Kedah beratur sejak awal pagi tadi untuk mendapatkan tiket di pekarangan Stadium Darulaman.
Jusrianuar turut berpuas hati dengan kecekapan sistem urusan kaunter yang kini lebih kemas dan teratur seperti dilaksanakan KFA semasa penjualan tiket final Piala FA pada Julai lalu."
"Penyokong nampak berterusan datang, tidak kelam kabut dan selesa untuk membeli tiket. Jika ada lebihan tiket, kami akan lanjutkan waktu jualan hingga pukul 4.30 petang ini dan jika masih ada lebihan jualan tiket hari ini, mungkin kami cadangkan untuk membawanya ke Stadium Shah Alam pada Jumaat.
"Bagaimanapun, kami akan maklumkan perkembangan penjualan tiket melalui laman media KFA dan saya berharap penyokong mendapat maklumat tepat berkaitan tiket ini dari masa ke semasa."

Ulasan