Sebahagian penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) membanjiri pekarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) membanjiri pekarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, pagi ini, bagi mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, malam esok.
Cuaca yang sedikit panas pagi ini tidak menghalang mereka menunggu di perkarangan stadium yang turut dikenali sebagai Stadium Larkin ini, malah segelintir penyokong sudah mula beratur sejak malam tadi walaupun menyedari kaunter tiket hanya dibuka kira-kira jam 9 pagi.
Tinjauan BH mendapati keadaan terkawal dan tiada tolak-menolak berlaku di kalangan penyokong yang dibenarkan masuk ke kawasan kaunter secara berperingkat sebaik empat kaunter jualan mula dibuka jam 9.40 pagi.
Seorang penyokong, Khairul Abd Halim, 43, dari Parit Terus, Batu Pahat, berkata dia datang bersama isteri dan empat anaknya berusia antara tujuh hingga 14 tahun jam 9 malam tadi dan tidur di perkarangan stadium untuk memastikan tidak terlepas membeli tiket.
"Kami tidur di dalam kawasan beratur yang ditetapkan di kaki lima di tepi stadium. Bagaimanapun, malam tadi hujan gerimis turun sekejap dan saya mengarahkan isteri dan anak tidur di dalam kereta buat sementara waktu.
"Saya tidak berganjak kerana tidak mahu kehilangan tempat di hadapan barisan sebaik kaunter tiket dibuka pagi ini," katanya yang kerap tidur di perkarangan stadium untuk membeli tiket setiap kali pasukan JDT menghadapi perlawanan penting.
Sementara itu, Jefri Othman, 40, dari Taman Berjaya, Simpang Rengam, berkata dia datang bersama isteri dan anaknya ditemani adik ipar serta anak saudaranya kira-kira jam 9 malam tadi.
"Biasanya setiap orang dibenarkan membeli dua keping tiket, jadi kumpulan kami boleh mendapatkan 10 tiket yang akan dikongsi bersama rakan rapat dan saudara-mara yang tidak dapat datang.
"Kami tidak kisah bersusah payah seperti ini demi menunjukkan sokongan padu kepada JDT," katanya yang tidur beralaskan tikar di perkarangan stadium berkenaan.
JDT berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 28 September lalu.
Satu lagi aksi separuh akhir pertama membabitkan pasukan Kedah dan Pahang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, malam esok.
Ulasan
Catat Ulasan