Penantian 24 jam berbaloi [METROTV]


HAMPIR 24 jam menunggu. Itu pengorbanan penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Malah ada penyokong Harimau Selatan menunggu seawal jam 10 pagi semalam dan berkhemah di persekitaran Stadium Tan Sti Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin bagi mendapatkan tiket yang mula dijual jam 9 pagi tadi.
Sebanyak empat kaunter dibuka membabitkan kaunter wanita, kaunter pas bermusim dan dua kaunter terbuka. Malah buat pertama kali Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) membuka kaunter khas wanita sekali gus mengelak mereka bersesak dengan lelaki.

Tinjauan Harian Metro mendapati penjualan tiket berjalan lancar dan teratur dengan setiap giliran membabitkan 10 orang. Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan PBNJ masing-masing menerima sejumlah 31,610 keping tiket bagi perlawanan akhir.

ANTARA penyokong yang berjaya mendapatkan tiket di Stadium Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Pengagihan jumlah tiket itu termasuk 750 keping tiket kanak-kanak bagi setiap pasukan selepas diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan Piala Malaysia 2019 di Ibu Pejabat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Anizam Jamian juga sebelum ini mengesahkan pengagihan jualan tiket sebanyak 26,610 keping kepada 10 daerah di negeri Johor.
Sebahagian tiket itu dijual di kaunter Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pagi ini. Suri rumah, Rohana Abdul Rahman, 39, bersyukur tindakannya berkampung selama 24 jam di stadium berkenaan berbaloi kerana dapat membeli tiket final.
“Syukur, selepas seharian di sini sejak 10 pagi semalam, akhirnya saya dapat membeli dua tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir," katanya yang tinggal di Taman Selesa Jaya, Skudai. Katanya, paling terharu, pihak pengurusan membuka kaunter khas bagi wanita.
“Jadi ada peluang kepada ibu-ibu untuk membeli tiket tanpa perlu bersesak dengan lelaki," katanya. Menurutnya, dia bercadang berkonvoi bersama keluarga dan rakan pada pagi Sabtu ini dan dia meramalkan JDT menang 2-0.
Penyokong, Norita Suhud, 47, pula bersyukur menjadi sepuluh wanita terawal mendapatkan tiket perlawanan akhir pagi ini. Bayangkan 24 jam saya di sini dan jam 9 pagi ini barulah saya dapat membeli tiket ini," katanya yang berasal dari Taman Sri Austin di sini.
Dia turut memuji pengurusan stadium menyediakan kaunter khas wanita sekaligus memudahkan golongan itu mendapatkan tiket.
Pemandu e-hailing itu meramalkan kemenangan JDT dengan 3-1.
Pelajar SMK Datuk Abdul Rahman Yassin, Mohd Azman Azrul, 16, berkata, dia dan keluarga berkhemah di stadium itu sejak 10 pagi semalam. “Hasilnya berbaloi, selepas 24 jam menunggu, saya dapat membeli dua tiket perlawanan akhir JDT," katanya yang meramal kemenangan JDT 2-0.

Ulasan