MFL Luluskan Pendaftaran Fadhli Shas, Hazwan Bakri Ke JDT II


Malaysian Football League (MFL) telah meluluskan pendaftaran dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Muhammad Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri ke Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berkuatkuasa semalam.
Sebelum ini, peraturan melibatkan perpindahan pemain “Reserve Team’ menyatakan had umur pemain-pemain tempatan yang dibenarkan untuk berpindah dari “Reserve Teams” ke skuad utama atau skuad utama ke “Reserve Teams” harus memiliki syarat sekurang-kurangnya berusia 27 tahun ke bawah.
Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan di mana tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke “Reserve Teams” atau sebaliknya dalam satu mesyuarat pada 1 Mac lalu.
Kini, pemain tempatan yang berumur 27 tahun ke atas kini dibenarkan untuk bergerak dari skuad utama ke “Reserve Teams” atau dari “Reserve Teams” ke skuad utama.
“Pihak MFL dengan ini meluluskan pendaftaran pemain JDT (pasukan utama) untuk didaftarkan ke JDTII (Reserve Team).
“Merujuk keputusan Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL 1 Mac lalu di mana tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke ’Reserve Team’ atau sebaliknya.
“Oleh yang demikian, pendaftaran pemain tersebut telah dibuat mengikut Peraturan “Reserve Team” seperti yang telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Pendaftaran pemain-pemain ini adalah berkuatkuasa pada tarikh surat ini diedarkan,” kata MFL dalam satu kenyataan.

Beberapa permohonan pendaftaran pemain tempatan untuk bergerak dari skuad utama ke “Reserve Teams” atau sebaliknya sudah diluluskan MFL sebelum ini termasuk permohonan Terengganu FC (TFC) ke TFC II pada 14 Jun lalu seramai 22 pemain.
Kredit fotoJOHOR Southern Tigers

Ulasan