MB harap Selangor ke final

MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) beramah mesra bersama peserta pada Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) 2019 di Kem Wawasan Negara Meru. NSTP/Faiz Anuar


SHAH ALAM: Menteri Besar, Amirudin Shari berharap pasukan bola sepak Selangor akan layak ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir beraksi pada 2016 ketika beliau masih pengurus pasukan Gergasi Merah itu.    
"Saya harapkan kita layak ke final. Walaupun misi agak sukar dan kelihatan mustahil tetapi tiada yang mustahil dalam bola sepak.    
"Saya percaya, pasukan kita boleh buat kejutan di Johor esok dan meneruskan cabaran di Shah Alam pada 26 Oktober nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada lawatan kerja sempena pelaksanaan Malaysia Future Leaders  Schools (MFLS) di Kem Wawasan Negara Meru, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.    
Amirudin berkata, beliau tidak meletakkan ramalan kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain namun mengharapkan pasukan itu dapat memberikan yang terbaik pada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.    
"Paling kurang kita perlu seri dan jika tewas sekalipun hanya tipis kerana saya tahu bukan mudah hendak kalahkan JDT. Bagaimanapun, saya percaya ada sesuatu yang dirancang oleh jurulatih dan pasukan," katanya.    
Juara Piala Malaysia 33 kali itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, 29 September lalu.   

Ulasan