Mahu tambah koleksi piala





ANDAI berjaya menjulang Piala Malaysia di final Sabtu ini, ia akan menjadi kejuaraan ketiga buat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Piala Sumbangsih dan trofi Liga Super tersimpan di dalam kabinet Harimau Selatan.
Ia dilihat bukan sesuatu yang mustahil walaupun lawan mereka di final Piala Malaysia ialah juara Piala FA, Kedah yang juga bukan calang-calang pasukan.
Skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora layak ke final selepas mengetepikan Selangor menerusi agregat 5-1 manakala Lang Merah layak hasil kelebihan jaringan di tempat lawan walaupun seri 8-8 pada agregat dengan Pahang.


Aksi menentang Kedah diibarat ulangan final 2017 dan ketika itu, JDT yang dibimbing Ulisses Morais, berjaya menamatkan kemarau 26 tahun selepas menewaskan Lang Merah 2-0 hasil jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera.
Kini, terpulang kepada kebijaksanaan Mora dan Luciano Figueroa yang turut beraksi pada final 2017 untuk membentuk taktikal lebih ampuh berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim enggan terlalu memberi tekanan kepada pemainnya dan beliau menuntut mereka supaya beraksi seperti biasa.
“Saya berpendapat bahawa liga dan Piala FA adalah yang paling berprestij kerana ia menyediakan peluang untuk beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) malah saya juga sudah menyatakan perkara yang sama sebelum ini.
“Jadi bagi saya, Piala Malaysia hanyalah satu lagi saingan, tidak lebih dari itu. Tapi saya yakin bahawa kelab, pemain dan barisan kejurulatihan, bersikap profesional dan mereka tahu tanggungjawab. Oleh itu, mereka akan memberikan yang terbaik untuk penyokong, penaja dan semua yang terbabit,” kata Tunku Ismail.
Yang pasti, keinginan untuk muncul juara musim ini selepas melakukannya dua musim lalu tetap menebal dalam diri setiap pemain Harimau Selatan dan final Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan ‘epik’ dua pasukan yang memiliki aura tersendiri.

Ulasan