KFA buka tempahan tiket berkumpulan






ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan membuka tempahan tiket secara berkumpulan untuk aksi perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) selama dua hari bermula hari ini hingga esok. 
Perkara ini dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA Jusri Anuar Jamarudin menerusi laman rasmi KFA berkaitan tarikh tempahan tiket untuk penyokong Kedah yang membuat tempahan melalui bas dan van dari Kedah. 
Menurut maklumat itu lagi, semua permohonan perlu dihantar terus ke pejabat KFA dan sebelum permohonan dapat diluluskan, semua pemohon perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak KFA.
"Untuk tempahan bas dan van, penyokong perlu melengkapkan dokumen seperti surat rasmi permohonan dan menyertakan permit sah bas atau van, resit pembayaran sewaan kenderaan berkenaan, lesen pemandu dan juga salinan mykad pemohon,” kata Jusri.
"Waktu urusan tempahan adalah dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang. KFA akan memaklumkan status permohonan sama ada diterima atau sebaiknya bermula 29 Oktober 2019 selepas jam 5 petang dan bagi permohonan yang berjaya, tarikh membuat bayaran pula akan bermula pada 30 Oktober (Rabu) sehingga selewat-lewatnya jam 12.30 tengahari."
Bagi penjualan tiket di kaunter, pengesahan muktamad maklumat penjualan tiket dan tempat perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 akan dimaklumkan oleh Malaysian Football League (MFL). 
Pada musim 2017, Kedah menerima permohonan lebih 200 buah bas daripada Kelab Penyokong seluruh Kedah yang membuat pendaftaran permohonan tiket bagi menyaksikan aksi final Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam yang berlangsung pada 4 November 2017.

Ulasan