Kedah sedia tangkis serangan Harimau Selatan


Ifwat berdepan cabaran besar pada Sabtu ini dalam memastikan gawang Kedah tidak bocor.

RANGKAIAN jentera serangan JDT diakui antara yang terbaik dan Kedah akan bersedia sepenuhnya untuk menangkis setiap serangan yang bakal dicipta oleh pasukan lawan pada final Piala Malaysia 2019 di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini.

Penjaga gol utama Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim berkata, beberapa kelemahan yang dipamerkan sebelum ini perlu dibaiki segera termasuk tidak mengulanginya lagi apabila bertembung dengan sebuah pasukan yang lengkap di pelbagai posisi.

Menurutnya, beliau bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada pentas final kali ketiga jika diturunkan oleh Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan berazam membantu Lang Merah menjulang piala kedua musim ini.

"Saya lihat Safawi Rashid, Diogo Luis dan Gonzalo Cabrera antara penyerang JDT yang perlu diberikan perhatian. Mereka sering beri masalah kepada lawan dan barisan pemain Kedah perlu ambil berat tentang perkara ini.

"Saya harap pada final ini akan dapat memberikan aksi yang terbaik dan akan berusaha untuk mempertingkatkan dari semasa ke semasa. Persefahaman di kalangan semua pemain juga tidak ada masalah kerana kami sudah lama beraksi bersama," katanya.

Sementara itu pemain sayap berpengalaman Kedah, Azammuddin Akil pula berkata, Kedah hadir tanpa tekanan di Bukit Jalil seperti yang mereka berjaya melakukannya di Kuantan.

Azammuddin Akil.

Azammuddin Akil.

Menurutnya, beliau dan pemain-pemain lain berazam untuk mencipta kejutan ke atas juara Liga Super 2019 itu.

"Pada pentas akhir nanti, saya tidak kisah disenaraikan sebagai pemain utama ataupun simpanan. Saya akan turun tanpa tekanan dan sesiapa sahaja yang diturunkan akan bermain dan memberikan aksi seratus peratus kepada pasukan," katanya.

Ulasan