Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam. - NSTP/Ihsan MFL
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal menekankan penggunaan tempat duduk bernombor bagi aksi final Piala Malaysia namun dalam skala yang kecil membabitkan tempat duduk di bahagian Grandstand.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan sistem tempat duduk bernombor dalam skala kecil itu sebagai permulaan bagi memastikan penyokong dapat membiasakan diri untuk mematuhi sistem berkenaan dalam kapasiti yang lebih besar bagi perlawanan akan datang.
“Untuk final kali ini, kami lakukan sama seperti final Piala FA sebelum ini membabitkan tempat duduk bernombor untuk penyokong dalam skala kecil.
“Kita akan pastikan tempat duduk penyokong yang bernombor ini dijaga dan tidak akan berlaku masalah salah tempat duduk dan sebagainya. Dalam masa sama, kita mengharapkan sistem tempat duduk bernombor ini akan menjadi kebiasaan dalam skala yang lebih besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kevin mengesahkan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi venue final Piala Malaysia membabitkan Kedah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini selain mengumumkan setiap pasukan mendapat peruntukan kira kira 30,000 tiket.
“Kita mengadakan satu mesyuarat bersama pasukan pada hari ini dan kita putuskan untuk memilih Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi final ini.
“Semua perancangan yang berkaitan dengan pengelolaan perlawanan turut dibincangkan di mana akan ada juga beberapa aktiviti bersama pasukan yang kita perlu buat terutama bersama pihak media sebelum hari perlawanan.
“Kita berjaya menarik perhatian dunia ketika aksi final Piala FA sebelum ini dengan klip-klip video menarik daripada perlawanan terbabit. Ini salah satu sebab kita kena pastikan untuk lakukan yang lebih baik bagi aksi final Piala Malaysia pula,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan