Jualan tiket final Piala Malaysia 2019 tenang di Darul Aman

Keadaan jualan tiket final Piala Malaysia 2019 untuk penyokong Kedah berjalan lancar di Stadium Darul Aman. - Foto: KFA

Keadaan jualan tiket final Piala Malaysia 2019 untuk penyokong Kedah berjalan lancar di Stadium Darul Aman. - Foti KFA

SUASANA tenang dan teratur dirasai di Stadium Darul Aman walaupun kira-kira 5,000 penyokong Kedah hadir berperingkat sejak awal pagi sehingga 12 tengah hari ini untuk membeli tiket Final Piala Malaysia 2019.

Tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan berjalan lancar dan semua penyokong berjaya membeli tiket di lima kaunter yang dibuka sejak jam 10.30 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Jusri Anuar Jamarudin berkata, kelancaran itu diuruskan sebaik mungkin oleh pihaknya dengan kerjasama unit keselamatan KFA dan polis bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pendekatan yang sama juga diaplikasikan oleh pihaknya seperti pada jualan tiket final Piala FA 2019 pada Julai lalu.

"Kita mahu elakkan keadaan menjadi kelam-kabut dan setakat ini keadaan memang berjalan lancar. Penyokong juga dilihat datang secara berperingkat-peringkat," katanya.

Keadaan jualan tiket final Piala Malaysia 2019 untuk penyokong Kedah berjalan lancar di Stadium Darul Aman. - Foto: KFA

Keadaan jualan tiket final Piala Malaysia 2019 untuk penyokong Kedah berjalan lancar di Stadium Darul Aman. - Foto: KFA

Jusri Anuar berkata, sekiranya tiket yang dijual tidak habis pada hari ini, pihaknya akan mencadangkan agar tiket -tiket itu dijual di Lembah Klang untuk penyokong Kedah yang tinggal di sana.

"Kebiasaannya tiket final dijual di Stadium Shah Alam seperti aksi final Piala FA pada Julai lalu kerana venue Stadium Bukit Jalil tidak akan dibenarkan.

"Sebarang perkembangan akan kami maklum di Facebook rasmi KFA dan penyokong boleh pergi ke situ untuk melihat sebarang hebahan dari kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, masih belum ada yang mahu ambil kesempatan seperti ulat tiket dan KFA telah mewujudkan pasukan khas untuk memantau perkara tersebut.

Ulasan