Kesempatan berada di Singapura digunakan sepenuhnya oleh delegasi skuad kebangsaan Brazil bagi mengunjungi Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, pagi tadi.
Delegasi The Selecao itu disertai penyelaras pasukan, Juninho Paulista, Penyelia Besar Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) Luis Wagner, Pengarah Pemasaran, Gilberto Ratto, Penasihat Media, Vinicius dan Ketua Keselamatan, Aloisio Rocha serta pemain legenda mereka, Bebeto.
Menurut sumber JOHOR Southern Tigers, selain daripada meninjau fasiliti latihan skuad JDT itu, delegasi juara Piala Dunia lima kali tersebut juga turut dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim dan ibu pejabat JDT di Iskandar Puteri.
Agenda kunjungan juga antara lain dilaporkan turut membincangkan mengenai kemungkinan skuad kebangsaan Brazil akan menggunakan fasiliti pasukan jolokan Harimau Selatan itu sekiranya mereka berkunjung ke rantau ini pada masa akan datang.
Barisan bintang Brazil kini berada di Singapura apabila dua perlawanan persahabatan bertemu Senegal dan Nigeria berlangsung di Stadium Nasional Singapura.
Malam tadi skuad bimbingan Tite itu terikat 1-1 menentang Senegal dan akan menanti cabaran Nigeria pada 13 Oktober ini pada jam 8.00 malam.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan