KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menepis dakwaan bahawa kelab itu 'memusnahkan' karier penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, JOHOR Southern Tigers, kelab berkenaan menyifatkan dakwaan yang dilontarkan beberapa pihak khususnya di media itu sebagai pandangan tidak adil dan berniat buruk untuk mencemarkan imej JDT.
Malah, JDT turut mendedahkan Hazwan memiliki rekod 4,297 minit sepanjang tiga musim di JDT dengan 78 penampilan bersama kelab itu.
Ia termasuk 31 penampilan pada musim 2017 yang menyaksikan dia meledak tujuh gol dan lima kali membantu jaringan untuk kelab.
"Bagi musim 2018, (Hazwan membuat) 38 penampilan, empat jaringan, enam ‘assist’ (umpanan jaringan), manakala pada 2019, dia tampil lapan kali dan dengan satu assist.
"Hazwan sudah memenangi tujuh trofi termasuk tiga kejuaraan Liga Super, satu Piala Malaysia, dua Piala Sumbangsih dan satu Piala Cabaran.
"Dia turut mendapat pendedahan berharga di pentas Asia kerana bermain dalam 12 perlawanan Piala AFC dan empat perlawanan peringkat kelayakan dan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Akhir sekali, Hazwan mungkin juga seorang jutawan yang tidak perlu bimbang mengenai gaji yang tidak dibayar seperti di beberapa kelab Malaysia lain kerana kebajikan pemain JDT diletakkan sebagai keutamaan," jelas kenyataan kelab itu.
Sebelum ini, tindakan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil Hazwan bagi persediaan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 turut mendapat kritikan daripada beberapa pihak susulan bekas pemain Selangor itu kurang beraksi bersama JDT.
Ulasan
Catat Ulasan