JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) membawa bekalan tipis untuk aksi final kedua apabila sekadar menang 1-0 menewaskan UKM FC pada final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
Walaupun menurunkan barisan sama ketika menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 4-2 secara agregat pada aksi separuh akhir, 27 September, skuad kendalian Ervin Boban terpaksa bermandi peluh merobek gawang anak didik Sulaiman Hussain yang bijak menutup ruang di posisi tengah dan pantas menyekat gerakan berbahaya.
Benteng pelawat cemas pada minit ke-18 selepas bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman tepat kepada Nico Fernandez namun pemain import Argentina itu gagal melakukan penyudah tatkala berada di dalam kotak penalti.
Walaupun menguasai perlawanan, skuad Merah Biru tampak tidak beraksi konsisten sepanjang 25 minit babak pertama tatkala terserlah kegugupan untuk menyusun strategi menyerang dan kelibat Mohamad Ghaddar dan Rozaimi Abd Rahman dan Ramadhan Saifullah bagai `malu' merobek gawang lawan.
Pelawat pantas melakukan serangan balas pada minit ke-35 apabila Milad Zeneyedpour yang menolak bola ke belakang ketika berada di dalam kotak penalti menyaksikan Wan Faiz Wan Sulaiman merembat leret memaskan penjaga gol, Haziq Nadzli merebah badan untuk menangkap bola.
Sebaik babak kedua, tuan rumah terlepas peluang merungkai jaringan pada minit ke-47 apabila umpanan Rozaimi yang membuka ruang buat Ghaddar merembat kencang namun sempat dikuis keluar penjaga gol, Khatul Anuar Md Ali.
Ghaddar tampak tidak berpuas hati apabila dikeluarkan pada minit ke-57 malah mempersoalkan tindakan Boban itu apabila dia digantikan dengan Amirul Hadi Zainal bagi mempertajamkan barisan serangan.
Ternyata percaturan Boban membuahkan hasil apabila Amirul Hadi yang tidak dikawal bertindak masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat leret menewaskan Khatul Anuar untuk meletak JDT II mendahului 1-0 dan kekal sehingga tamat perlawanan.
Final kedua berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 12 Oktober ini.
Ulasan
Catat Ulasan